PM dijangka beri penekanan kepaksian ASEAN dalam kerjasama ASEAN-AS - Utusan Malaysia

PM dijangka beri penekanan kepaksian ASEAN dalam kerjasama ASEAN-AS

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan mengikuti program padat sebaik tiba di Washington, Amerika Syarikat semalam (hari ini di Malaysia) sebelum menghadiri mesyuarat peringkat tinggi dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan pemimpin ASEAN.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang memberitahu, Perdana Menteri akan menyertai Biden, Naib Presiden AS, Kamala Harris dan pemimpin ASEAN lain dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang berlangsung selama dua hari di Washington bermula esok (Jumaat di Malaysia).

Beliau berkata, Kesemua 10 pemimpin ASEAN dijadualkan mengambil bahagian dalam sidang kemuncak khas itu kecuali dari Filipina dan Myanmar.

“Saya difahamkan wakil Myanmar tidak dijemput manakala Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tidak hadir sebab pilihan raya umum di negaranya,” katanya kepada media Malaysia sebagaimana dilaporkan Bernama, hari ini.

Difahamkan Jeneral Kanan junta Myanmar, Min Aung Hliang tidak dijemput susulan insiden rampasan kuasa di negara itu pada 1 Februari tahun lalu.

Biden akan menghoskan majlis makan malam untuk pemimpin ASEAN di Rumah Putih pada Khamis (Jumaat di Malaysia).

Presiden AS itu dijadualkan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan global dengan pemimpin ASEAN di Jabatan Negara pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Menurut Saifuddin, ini adalah Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS kedua dihoskan Presiden AS di sini selepas Presiden Barack Obama mengalu-alukan pemimpin ASEAN ke negara itu pada 2016.

Saifuddin berkata sidang kemuncak khas itu juga menandakan ulang tahun ke-45 hubungan dialog ASEAN-AS.

Katanya, Harris akan turut mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN mengenai pelbagai isu termasuk kesihatan, kerjasama maritim, perubahan iklim dan tenaga bersih pada Jumaat (Sabtu di Malaysia) di Jabatan Negara.

“Perdana Menteri dijangka menekankan kepaksian ASEAN dalam kerjasama ASEAN-AS di sidang kemuncak itu,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pemimpin ASEAN dijangka membangkitkan, antara lain, isu kepentingan rantau itu dalam perdagangan, ekonomi dan teknologi pada perbincangan tersebut.

Sidang kemuncak itu dijangka mengeluarkan Kenyataan Wawasan Bersama yang akan menekankan komitmen dan aspirasi bagi meningkatkan kerjasama ASEAN-AS demi kepentingan keamanan yang berkekalan, kestabilan keselamatan dan kemakmuran bersama untuk semua pada penghujung mesyuarat peringkat tinggi tersebut.

ASEAN, blok di rantau Asia Tenggara, terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Saifuddin berkata, Perdana Menteri juga akan bertemu Setiausaha Perdagangan AS Gina Raimondo dan Wakil Perdagangan AS Katherine Tai di sini pada Khamis (Jumaat di Malaysia).

Ismail Sabri juga akan mengambil peluang untuk bertemu ketua-ketua industri AS serta Majlis Perniagaan dan Dewan Perniagaan AS-ASEAN di sini pada Khamis.

Beliau dijadualkan bertemu diaspora Malaysia semasa majlis Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia di sini pada Rabu (Khamis di Malaysia). –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN