Perdana Menteri tiba di AS - Utusan Malaysia

Perdana Menteri tiba di AS

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Washington D.C., Amerika Syarikat (AS) hari ini bagi acara lawatan kerja selama empat hari dan menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS.

Beliau tiba di Pangkalan Udara Andrew pada pukul 8.16 malam (8.16 pagi Rabu di Malaysia).

Selain itu, jadual lawatan Ismail Sabri ke Washington D.C. padat apabila pelbagai program bakal dihadiri disertai termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang berlangsung selama dua hari bermula 12 Mei.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Perdana Menteri akan menyertai Presiden AS, Joe Biden dan Naib Presidennya, Kamala Harris serta pemimpin ASEAN lain dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS tersebut.

Katanya, semua 10 pemimpin ASEAN dijadualkan mengambil bahagian dalam sidang kemuncak khas itu kecuali Filipina dan Myanmar.

“Saya difahamkan wakil Myanmar tidak dijemput manakala Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tidak hadir sebab pilihan raya umum di negaranya,” katanya kepada media Malaysia seperti dipetik menerusi laporan Bernama.

Biden kemudian akan menghoskan majlis makan malam untuk pemimpin ASEAN di Rumah Putih dan pemimpin nombor satu AS itu dijadualkan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan global dengan pemimpin ASEAN di Jabatan Negara.

Saifuddin berkata, ia merupakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS kedua yang dihoskan oleh Presiden AS di Washington D.C selepas Presiden AS, Barack Obama pernah mengalu-alukan pemimpin ASEAN ke negara itu pada 2016.

Beliau menambah sidang kemuncak khas itu juga menandakan ulang tahun ke-45 hubungan dialog ASEAN-AS.

Dalam pada itu, Saifuddin juga memaklumkan Harris akan turut mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN mengenai pelbagai isu termasuk kesihatan, kerjasama maritim, perubahan iklim dan tenaga bersih di Jabatan Negara.

“Perdana Menteri dijangka menekankan kepaksian ASEAN dalam kerjasama ASEAN-AS di sidang kemuncak itu,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin ASEAN dijangka membangkitkan, antara lain, isu kepentingan rantau itu dalam perdagangan, ekonomi dan teknologi pada perbincangan tersebut.

Sidang kemuncak itu dijangka mengeluarkan Kenyataan Wawasan Bersama yang akan menekankan komitmen dan aspirasi bagi meningkatkan kerjasama ASEAN-AS demi kepentingan keamanan yang berkekalan, kestabilan keselamatan dan kemakmuran bersama untuk semua pada penghujung mesyuarat peringkat tinggi tersebut. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN