Peniaga terjejas bekalan ayam kurang - Utusan Malaysia

Peniaga terjejas bekalan ayam kurang

Peniaga medan selera mengeluh harga barang mahal dan beberapa barang tiada stok. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Masalah kekurangan bekalan ayam di daerah in menjejaskan peniaga makanan yang menggunakan bahan mentah itu sejak dua hari ini.

Dakwa peniaga, selain mengeluarkan modal lebih untuk mendapat bekalan, mereka turut alami kerugian kerana pelanggan enggan membeli masakan berasaskan ayam yang terpaksa dijual dengan harga lebih tinggi.

Bagi mengelak daripada mengalami kerugian lebih besar, peniaga mula mengehadkan menu masakan berasaskan ayam di premis perniagaan mereka.

Seorang peniaga, Norizan Awang, 45, berkata, sebelum ini, mereka terkesan dengan harga ayam segar yang tidak menentu dan sekarang melibatkan kekurangan bahan mentah itu pula.

“Sejak awal puasa lalu operasi perniagaan kami terkesan kerana harga ayam segar tidak menentu sedangkan masakan berasaskan ayam masih dijual mengikut harga lama.

“Bagi menyerap kerugian, saya mengehadkan menu berasaskan ayam kerana takut tidak habis yang boleh menjejas pendapatan seharian,” katanya yang ditemui di kedai makannya di Jalan Bakar Sampah di sini, hari ini.

Peniaga, Halimaton Saad, 50, berkata, sebelum ini dia membeli lapan ekor ayam sehari dengan modal sebanyak RM120 untuk menu masakan yang disediakan di kedai makannya di Taman Ria Jaya di sini.

“Bermula semalam, saya hanya dibekalkan lima ekor ayam segar sahaja manakala harganya hampir sama dengan harga lapan ekor ayam yang dibeli sebelum ini.

“Jika harga ayam melambung tinggi lagi dan sukar diperoleh selepas ini, kemungkinan saya akan menutup kedai kerana tidak mampu menanggung kos operasi tinggi yang juga melibatkan kenaikan harga barang mentah lain,” katanya.

Bagi Rahiza Rahim, 45, yang mengusahkan kedai makan di Jalan Maktab di sini berkata, kemungknan ramai peniaga terpaksa gulung tikar kerana kekurangan ayam sehingga menyebabkan harganya terus melonjak tinggi.

“Setiap kedai makan perlu menyediakan menu berasaskan ayam kerana ia menjadi tarikan kepada pelanggan pelbagai bangsa.

“Jika harga terus melonjak disebabkan kekurangan ayam, margin keuntungan yang bakal dihadapi peniaga tentunya merosot teruk dan menjejas pendapatan kami,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya