Peniaga cari alternatif bekalan ayam tempat lain - Utusan Malaysia

Peniaga cari alternatif bekalan ayam tempat lain

AYAM segar dan pasar awam di sekitar Sungai Buloh dan Jeram, Kuala Selangor habis dijual seawal pukul 7.30 pagi selepas peniaga mendakwa mengalami kekurangan bekalan ayam daripada pembekal sejak semalam. - UTUSAN / MOHAMAD ATHIR ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembekal ayam segar di negeri ini mendakwa menjual sumber makanan itu pada harga yang tinggi sekitar RM7 berbanding negeri lain sekitar RM5.00 menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di peringkat runcit.

Kekurangan ayam turut disumbang sikap beberapa pembekal yang didakwa mengurangkan kuantiti bekalan kepada peniaga termasuk di luar bandar menyebabkan mereka tiada pilihan lain selain mencari alternatif lain untuk meneruskan operasi perniagaan.

Masalah tersebut disuarakan seorang peniaga dekat sebuah pasar di Sungai Buloh, Kuala Selangor apabila mendakwa terpaksa mendapatkan bekalan ayam dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berikutan pembekal asalnya tidak mahu memenuhi tempahan.

Katanya, dia terpaksa menggunakan alternatif tersebut untuk mendapatkan bekalan ayam dan dalam masa sama pada harga berpatutan walaupun jumlah diperoleh daripada pembekal berkenaan tidak seperti diharapkan.

“Sejak semalam dan kelmarin bekalan daripada pembekal asal sudah pun terputus dan langsung tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan yang datang terus ke kedai untuk membelinya kerana jumlah kuantiti ayam diperoleh cuma 120 ekor berbanding jualan harian 200 hingga 300 ekor.

“Itu pun selepas merayu kepada pembekal supaya menambah bekalan sebab asalnya mereka hanya beri 80 ekor. Saya memang terpaksa ambil di Kuala Pilah dan pergi ke ladang tersebut sebaik sahaja kedai ditutup pada pukul 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Jelas peniaga itu, harga yang ditawarkan oleh pembekal di sana adalah RM5.20 jauh lebih rendah dan jualannya mencukupi untuk menampung kos pengangkutan dan gaji pekerja.

Kelmarin, akhbar melaporkan empat syarikat penternak dilapor menghentikan operasi sementara syarikat lain di seluruh negara bakal menyertai konspirasi itu selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan kelewatan bayaran subsidi 60 sen daripada kerajaan.

Tindakan penutupan operasi ladang menjejaskan jualan ayam dan tinjauan di beberapa buah negeri sebelum ini mendapati peniaga dan pembeli mula mengeluh kerana kekurangan bekalan.

Sehubungan itu, tinjauan di beberapa lokasi termasuk pasar awam dan kedai jualan ayam segar di sekitar Selangor mendapati bekalan ayam habis seawal pukul 7.30 pagi apabila tidak banyak bekalan diperoleh untuk dijual kepada pelanggan yang datang.

Seorang peniaga kedai jualan ayam segar di Kampung Bukit Kuching, Jeram memaklumkan baki ayam mentah yang terdapat di premisnya adalah milik pelanggan yang sudah pun membuat tempahan sejak dua hari lepas.

“Ayam yang jual, sebelum pukul 8 pagi sudah habis, pertama kali berlaku macam ini. Cuma yang tinggal adalah bekalan untuk pelanggan yang menempah untuk tujuan kenduri, katering dan kedai makan.

“Memang benar-benar kurang, hari ini pun pembekal memberitahu mereka ada ayam boleh dibekalkan dari ladang sendiri, jadi dapatlah sekitar 500 ekor yang dijual pada harga RM7.30 sekilogram. Mereka juga maklumkan esok akan naik 20 sen, namun tidak janji ada bekalan,” jelasnya.

Di Shah Alam, rata-rata peniaga di pasar-pasar utama sekitar bandar raya itu menjual ayam jenis super iaitu siap dipotong dan dibersihkan serta menghadkan jualannya kepada dua ekor bagi setiap pembeli.

Menurut peniaga di sana, kaedah jualan itu dibuat bagi memastikan ramai pelanggan yang datang ke gerai di pasar berkenaan dapat membeli ayam.

“Disebabkan itu, ayam harga kawalan di pasar raya ini juga habis seawal pukul 10 pagi. Saya tidak pasti jika kaedah sama perlu dilaksanakan esok, namun bergantung kepada bekalan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga di pasar berkenaan memberitahu stok ayam yang dihantar pembekal di tempat kedainya sudah pun berkurangan, sejak beberapa hari lalu.

“Memang bekalan ayam yang dihantar sedikit, tetapi saya tidak tahu apa puncanya, cuma ramai pelanggan yang datang awal pagi tadi untuk beli ayam harga kawalan,” ujarnya.

Sementara itu, di Pasar Basah Ampang, seorang peniaga memberitahu keperluan bekalan untuk hari ini dan esok tidak dapat diperoleh selepas pembekal memberi alasan saiz ayam yang belum cukup matang untuk dijual.

“Saya order 200 ekor ayam dan dapat 60 sahaja. Ini pun banyak yang telah ditempah pelanggan di kalangan pengusaha kedai. Macam mana hendak jual kepada pengguna lain. Rasa menyesal juga berniaga ayam bila tiada stok sebab terpaksa tolak banyak permintaan,” luahnya.

Seorang lagi peniaga di pasar sama mendakwa cuma menerima 15 ekor daripada pembekal menyebabkannya menanggung kerugian untuk menampung kos dan gaji pekerja.

“Semuanya ditempah pelanggan dan hanya tinggal satu ayam kampung dan tiga ayam tua. Selain itu, saya jual kaki ayam sahaja,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN