Penduduk anggap letupan bom di Tak Bai perkara biasa - Utusan Malaysia

Penduduk anggap letupan bom di Tak Bai perkara biasa

Penduduk di Pengkalan Kubor menjalani kehidupan seperti biasa walaupun berlaku kejadian letupan dan berbalas tembakan di Selatan Thai Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Siri letupan bom yang sering berlaku di sekitar Tak Bai, Narathiwat, Thailand sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk yang tinggal berhampiran kawasan Sungai Golok khususnya di kawasan Pengkalan Kubor.

Seorang penduduk, Mohd. Ariffin Awang, 50, berkata, walaupun sudah ‘lali’ dengan bunyi letupan dari negara jiran, perasaan takut tetap menyelubungi mereka yang tinggal berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Menurutnya, hal ini kerana jarak sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Kubor hanya dipisahkan oleh Sungai Golok sejauh kira-kira 300 meter.

“Ketika kejadian, letupan bom yang berlaku di Tak Bai amat menakutkan sehingga rumah saya bergegar.

“Ketika kejadian itu juga, saya dan keluarga sedang tidur sebelum dikejutkan dengan satu dentuman yang cukup dahsyat,” katanya.

Mohd. Arifin memberitahu, insiden itu menyebabkan dia dan keluarga terpaksa berjaga sehingga waktu pagi kerana bimbang letupan akan terus berlaku.

Katanya, bagaimanapun dia dan keluarga lega apabila letupan kuat itu adalah yang terakhir pada malam insiden itu.

“Saya berdoa supaya kejadian ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan kerana Malaysia dan Thailand hanya dipisahkan dengan sempadan sungai,” ujarnya.

Sementara itu, Che Dollah Che Din berkata, apa yang didengari semasa kejadian itu berlaku disifatkan seperti berada di medan perang.

Katanya, bunyi letupan yang bersilih ganti selain bunyi tembakan membuatkan penduduk di sini turut merasai kesan daripada insiden itu.

“Saya harap selepas ini tiada lagi insiden buruk yang akan berlaku kerana ia turut memberikan tempias kepada penduduk di sempadan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN