IPOH: Cebisan kain dipercayai daripada sehelai pakaian ditemukan oleh anggota pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini hari ini.
Timbalan Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Umrani Che Mat berkata, cebisan pakaian itu dijumpai pukul 1 tengah hari berhampiran lokasi penemuan anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang mangsa semalam.
Umrani berkata, bagaimanapun pasukan SAR belum dapat mengesahkan sama ada cebisan kain itu milik mangsa atau sebaliknya.
“Apabila berlaku kejadian sebegini, memang kita akan menemukan cebisan-cebisan seperti pakaian, tetapi ia bukan menunjukkan kedudukan sebenar mangsa.
“Pasukan penyelamat belum dapat mengesahkannya dan berdasarkan kepada maklumat awal, cebisan pakaian itu berkemungkinan sama dengan pakaian dipakai salah seorang daripada mangsa,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Pos Atap Baru di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti sama ada cebisan pakaian yang ditemui itu baju atau seluar ekoran keadaannya yang sudah hancur.
Katanya, operasi pencarian dua pendaki berkenaan yang memasuki hari ketiga, pasukan SAR tidak menemui sebarang petunjuk baharu yang lain selain daripada cebisan kain tersebut.
“Pasukan SAR memberi tumpuan kepada kemungkinan petunjuk baharu seperti hurungan lalat dan bau melibatkan laluan sejauh satu kilometer di tempat kejadian dengan gerak kerja yang memerlukan kepada peralatan seperti cangkul.
“Pasukan penyelamat mengesyaki mangsa yang terlibat berada pada kedudukan di bawah lumpur dan juga timbunan kayu yang dibawa kepala air,” katanya.
Kelmarin, pasukan penyelamat yang melakukan operasi pencarian telah menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik pendaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Hutan Simpan Gunung Siku.
Kaki bahagian kiri itu dijumpai anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) sekitar pukul 5.05 petang pada jarak 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dihanyutkan arus deras kepala air.
Operasi yang disambung semalam pula berjaya menemukan separuh badan bahagian atas dari pusat yang dijumpai dalam timbunan tanah pada pukul 10.20 pagi.
Dua pendaki wanita dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 27 individu lain di Hutan Simpan Kekal Gunung Suku.
Mangsa dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46. – UTUSAN ONLINE