GEORGETOWN: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah apartment di Jalan Datuk Keramat, di sini pada 17 April lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komisioner Soffian Santong berkata, kertas siasatan itu apabila siap sepenuhnya akan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk mendapatkan tindakan selanjutnya.
Katanya, pejabat TPR akan menentukan sama ada terdapat keperluan untuk melaksanakan inkues atau sebaliknya bagi kes tersebut.
”Kita sedang berusaha menyiapkan dan melengkapkan kertas siasatan kes ini dengan segera untuk diserahkan kepada pejabat TPR.
“Sama ada terdapat keperluan untuk melaksanakan inkues atau tidak bagi kes ini, ia bergantung kepada arahan selanjutnya daripada pejabat TPR,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Pada 17 April lalu, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di Jalan Datuk Keramat di sini.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Ma’arof Sudin mengesahkan mangsa ialah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lepas di HPP.
Menurut Soffian, kes tersebut masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan setakat ini tiada unsur jenayah ditemukan.
”Seramai 21 orang termasuk ahli keluarga, rakan sekerja dan doktor tempat mangsa bertugas telah direkodkan keterangan berhubung kejadian tersebut.
”Polis juga telah menerima laporan bedah siasat doktor pelatih tersebut namun kami tidak dapat mengulas lanjut kerana masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN ONLINE









