LONDON: Newcastle United dilaporkan sedang berusaha untuk memujuk Jose Mourinho untuk meninggalkan kelab Itali, AS Roma pada musim panas ini walaupun Eddie Howe masih mengemudi kelab berkenaan.
The Magpies boleh memecat Howe pada musim panas ini dan menggantikannya dengan Mourinho dengan kaedah mereka sendiri walaupun jurulatih Inggeris itu berjaya memberi impak besar dalam tempoh singkatnya sebagai pengurus.
Newcastle dibekalkan dengan bajet perpindahan yang besar menjelang pembukaan tingkap perpindahan pada akhir musim ini, selepas berbelanja besar pada Januari lalu, kelab berkenaan merancang melakukan pembaharuan untuk membawa pasukan ke peringkat lebih baik.
Mourinho boleh menjadi orang yang membawa mereka ke era seterusnya selain terdapat juga laporan bahawa The Special One telah dikaitkan dengan jawatan di St James Park pada musim lalu, sebelum pelantikan Howe.
Bekas bos Bournemouth itu menyertai The Magpies November lalu dan telah menandatangani pemain seperti Kieran Trippier, Chris Wood dan Bruno Guimaraes untuk membawa kelab berkenaan keluar zon penyingkiran dan mengukuhkan kedudukan dalam Liga Perdana.
Namun, menjadi kelab pertengahan carta liga bukanlah cita-cita pemilik baharu di Tyneside kerana mereka mengimpikan trofi besar dan wujud kebimbangan bahawa Howe tidak mampu membawa kelab berkenaan ke zaman emas walaupun menjadi hero ketika ini.
Mourinho mempunyai rekod prestasi memenangi piala yang baik walaupun terdapat ‘cakap-cakap’ bahawa kehebatan pengurusannya mungkin merosot. Namun begitu, faktor bintang akan menjadi dorongan besar untuk kelab itu mahu menonjol di pentas dunia. – AGENSI – UTUSAN










