ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan merasakan pasukan bimbingannya sepatutnya mampu mencatat keputusan lebih baik daripada hanya terikat 0-0 dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ketika bertandang ke Stadium Darul Aman kelmarin.
Menurut Devan, adalah jelas anak-anak buahnya memiliki lebih peluang berbanding pasukan tuan rumah di sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
Namun katanya, barisan penyerang NSFC gagal menterjemah peluang tersebut kepada jaringan untuk membawa pulang tiga mata penuh.
“Nak kata saya terkilan pun tak juga tetapi rasanya, kami layak untuk memperolehi tiga mata ketika NSFC tampak berjaya mencipta lebih banyak peluang berbanding KDA FC.
“Kami ada lima atau enam peluang besar untuk menjaringkan gol berbanding cuma dua dimiliki KDA FC sepanjang 90 minit perlawanan.
“Tetapi inilah bola sepak dan kita kena terima hakikat untuk berkongsi mata dengan mereka malam ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas berakhir perlawanan tersebut semalam.
Dalam perlawanan itu, ketangkasan dua penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim serta Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang ditugaskan menjaga gawang KDA FC serta NSFC, menyebabkan kalangan penyokong yang hadir ke stadium kempunan untuk melihat jaringan meskipun beberapa gerakan menarik dapat dihasilkan di sepanjang perlawanan.
Ifwat beberapa kali melayangkan badan bagi menangkis percubaan diketuai tonggak penyerang NSFC, Evanonye Kossi Adetu manakala kemampuan Ahmad Syihan menghalang percubaan Mohd. Fadzrul Danel ketika mereka berada dalam keadaan satu lawan satu pada minit-minit terakhir perlawanan, turut diperkatakan penyokong.
Di sebalik kegagalan menghadirkan jaringan dalam perlawanan itu, Devan jelas gembira dengan aksi ditampilkan anak-anak buahnya yang disifatkan semakin berkembang dengan baik.
“Kalau anda datang ke Stadium Darul Aman untuk menentang KDA FC dan berjaya mencipta lima atau enam peluang menjaringkan gol, itu bermakna anda bermain baik.
“Sebagai pendatang baharu dalam Liga Super, adalah jelas bahawa kami memerlukan masa untuk membina pasukan yang benar-benar mantap.
“Sasaran kami bagi musim pertama ini hanyalah untuk kekal di Liga Super dan tidak kembali terjerumus ke Liga Perdana tetapi setelah berjaya menampilkan tentangan sengit kepada beberapa pasukan kuat seperti JDT dan KDA FC selain menang ke atas KL City serta Sabah,” ujarnya. – UTUSAN










