fbpx

Nasi Kandar Jeti ‘Ultraman’ gamit sejarah Seberang Perai

KEDAI Nasi Kandar Jeti yang terletak di Jalan Pantai berhampiran Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH: Nasi kandar memang sinonim dengan Pulau Pinang dan setiap restoran nasi kandar yang popular dan menjadi tumpuan ramai pasti ada cerita menarik di sebaliknya seperti Nasi Kandar Jeti Ultraman di Seberang Perai.

Syed Ibrahim Abdul Muthalib yang kini menguruskan restoran itu menceritakan, sekitar 80-an, beliau bersama sekumpulan rakan-rakan sering menghabiskan masa bersama bermain ‘lawan-lawan’ di sekitar kawasan Jeti Mitchell Pier yang terletak di Jalan Pantai, dekat sini.

Mereka menjadikan idola adiwira masing-masing sebagai watak pilihan dan Syed Ibrahim sering menggambarkan dirinya sebagai Ultraman yang merupakan watak adiwira popular dari Jepun.

Ketika itu Syed Ibrahim merupakan generasi ketiga legasi Nasi Kandar Jeti yang diasaskan datuknya, Allahyarham Khalid Yusof pada 1964 dan gelaran Ultraman itu sebati dalam dirinya dan komuniti setempat sehingga lahirlah nama Nasi Kandar Jeti Ultraman.

Kisah tersebut diceritakan sendiri oleh Pengurus Nasi Kandar Jeti yang juga generasi keempat legasi nasi kandar itu Mohamed Nowfal Mohamed Masoothu, 29, kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

“Cerita di sebalik Nasi Kandar Jeti Ultraman itu diceritakan sendiri oleh ayah saya, Mohamed Masoothu Abdul Muthalib, 55, yang juga salah seorang generasi ketiga daripada tiga orang rakan kongsi legasi Nasi Kandar Jeti.

“Ketiga-tiga mereka adalah adik-beradik iaitu Syed Ibrahim, 51, dan Abu Hameethu Abdul Muthalib, 46.

“Memang lucu kisah itu sebab ia cuma kebetulan sahaja. Ekoran pak cik (Syed Ibrahim) dan penduduk sekitar jeti berhampiran Jalan Pantai dah terbiasa dengan gelaran tersebut, mereka panggil nama kedai Nasi Kandar Ultraman yang sebelum ini dikenali sebagai Nasi Kandar Jeti sempena nama gelarannya,” katanya.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, gelaran Nasi Kandar Ultraman hanya popular sekitar 80-an hingga 90-an berikutan peredaran waktu selain penduduk asal berhampiran Jalan Pantai kebanyakannya sudah berpindah.

Mohamed Nowfal menambah, sebagai pengurus kedai makan tersebut, dia ingin memastikan empayar perniagaan yang diusahakan secara turun-temurun oleh moyang, datuk, bapa serta bapa saudaranya itu akan dikekalkan sampai bila-bila.

“Jika diizinkan, saya mahu anak-anak ataupun cucu cicit untuk meneruskan legasi ini kerana ingin menjadikan Nasi Kandar Jeti ini sebahagian daripada lipatan sejarah Pulau Pinang,” jelasnya.

Katanya, minat untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan timbul apabila sering menghabiskan masa di kedai makan itu untuk melakukan kerja antaranya membungkus nasi.

“Ketika itu saya berusia belasan tahun. Setiap kali cuti sekolah saya akan ke kedai untuk tolong ayah dan bapa saudara.

“Lama-kelamaan saya merasakan bekerja sebagai pengusaha kedai makan dapat memberi pulangan yang baik selain seronok tengok pelanggan datang makan di kedai hasil daripada resipi turun-temurun keluarga kami,” katanya.

Mohamed Nowfal berkata, menu istimewa yang disajikan di kedai makan warisan keluarganya itu termasuk nasi kuah gulai ikan, daging masak hitam, bendi rebus serta ayam bawang.

“Ada pelanggan tetap sanggup datang dari luar Pulau Pinang seperti Kedah, Perak dan juga Kuala Lumpur semata-mata ingin makan Nasi Kandar Jeti,” katanya sambil menambah, ingin mengekalkan lokasi kedai Nasi Kandar Jeti itu berikutan nilai sejarah yang ada selain merupakan identiti kepada penduduk asal di sekitar Jalan Pantai itu sendiri.

Kedai Nasi Kandar Jeti dibuka setiap hari pada pukul 6.30 pagi hingga 3 petang, manakala pada hari Jumaat kedai tersebut akan dibuka sehingga jam 12 tengah hari. –UTUSAN ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!