Muhyiddin mahu kemuka nama baharu kepada PM ganti Zuraida - Utusan Malaysia

Muhyiddin mahu kemuka nama baharu kepada PM ganti Zuraida

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengemukakan satu nama baharu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet bagi menggantikan tempat Datuk Zuraida Kamaruddin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ia memandangkan kedudukan Zuraida sebagai menteri adalah atas kuota parti itu.

Pada masa sama, beliau mengesahkan keahlian Ahli Parlimen Ampang gugur serta merta selepas membuat pengumuman untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) melalui satu kenyataan akhbar hari ini.

“Keahlian beliau dalam Bersatu telah gugur serta merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas segala sumbangan beliau kepada Bersatu selama ini, ” katanya dalam kenyataan malam ini.

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengumumkan tindakan keluar parti itu selepas membuat pertimbangan yang mendalam dan mempercayai dengan perjuangan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang berteraskan enam prinsip utama.

Zuraida turut menjelaskan yang beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan kedudukannya sebagai menteri.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memberitahu, kedudukan Zuraida sebagai ahli Bersatu sebelum ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi baru-baru ini.

Ini kerana, katanya, terdapat laporan bahawa beliau terlibat secara langsung dalam penubuhan PBM dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti tersebut.

Susulan itu, jelas Muhyiddin, satu surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei lalu dihantar kepada beliau.

“Beliau telah menjawab surat tunjuk sebab tersebut menerusi sepucuk surat bertarikh 23 Mei 2022.

“Langkah seterusnya ialah untuk merujuk kes beliau ke Lembaga Disiplin parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya