MPP UUM kesal penularan berita palsu  - Utusan Malaysia

MPP UUM kesal penularan berita palsu 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) melahirkan rasa kesal berhubung penularan berita palsu mengenai peningkatan yuran pengajian bagi penuntut ijazah sarjana muda universiti itu sebanyak 30 peratus.

Paling menyedihkan berita palsu itu tular seminggu sebelum sambutan perayaan Aidilfitri sehingga menimbulkan kegelisahan para penuntut terutamanya mereka yang berada dalam kalangan B40.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Yang Dipertua 1, MPP UUM, Kaavilash Nair Jason Raja menjelaskan, spekulasi yang tersebar luas itu telah menimbulkan kegusaran buat para pelajar.

Kaavilash memaklumkan,  kenyataan yang disampaikan media melalui platform seperti akhbar dan portal berkaitan isu ini ‘hangat’ diperbualkan dalam sosial media dan akan menjatuhkan imej pusat pengajian berkenaan.

“Ini sangat merisaukan, sebagai media yang sepatutnya melalui pelbagai tapisan, namun, tidak mampu mengesan perkara sekecil ini menimbulkan suasana resah dalam kalangan pelajar berstatus B40.

“Kami mengambil tindakan drastik dengan memuat naik kenyataan daripada pihak MPP pada kira kira 2 pagi selepas tular kenyataan itu di sebuah portal berita di Malaysia dan kesal tiada respon daripada mereka selepas berbuat sedemikian,” ujarnya

Semalam, akhbar ini mengeluarkan sebuah penulisan di bahagian forum berkaitan aduan yang dikatakan daripada pelajar universiti itu sendiri yang bertajuk ‘Pelajar UUM terkejut ura-ura yuran naik’.

Kandungan penulisan itu mendakwa Naib Canselor, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah sudah memberi persetujuan terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD), Profesor Dr. Mohd. Amy Azhar Mohd. Haris..

Mengulas lanjut berhubung isu ini, Kaavilash berkata, keadaan kecoh yang berlaku dalam sosial media sejak seminggu lalu turut mengaitkan MPP UUM sebagai berat sebelah dan dianggap tidak membela golongan mahasiswa.

“Berita ini tular saat hampir untuk cuti hari raya Aidilfitri, dalam media sosial kami menerima banyak komen tentang hal ini termasuk ada yang cuba mengatakan kami MPP cuba menyokong pihak pengurusan universiti” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN