Mayat Abdul Hadi ditemukan dalam belukar selepas hilang 12 hari

Mayat Abdul Hadi ditemukan dalam belukar selepas hilang 12 hari

POLIS mengusung mayat Abdul Hadi Ismail yang ditemukan di kawasan belukar berhampiran Kampung Tanjung Aur di Hulu Terengganu hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Mayat lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang hilang sejak 13 Mei lalu ditemukan di kawasan belukar berhampiran Kampung Tanjung Aur di sini hari ini.

Mayat Abdul Hadi Ismail, 37, yang sudah reput dijumpai dalam keadaan tertiarap oleh seorang pencari buluh lemang pada pukul 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, mayat lelaki yang kudung sebelah kaki itu ditemukan lengkap berpakaian, namun tangan kirinya  dipercayai dimakan haiwan liar.

“Tulang tangan itu dijumpai kira-kira 3.05 meter dari lokasi penemuan mangsa.

“Selain itu, motosikal jenis Honda Dash di samping kunci, selipar dan tongkat dipercayai miliknya turut ditemukan tidak jauh dari lokasi mayat,” katanya di sini hari ini.

Kehilangan Abdul Hadi dilaporkan isterinya, Noor Izzaty Shakira Zaid, 32, yang hamil enam bulan kerana mangsa tidak pulang ke rumah di Kampung Tasik, Bukit Payung, Marang selepas keluar solat Jumaat. 

Mohd. Adli berkata, lokasi penemuan mayat Abdul Hadi terletak kira-kira 15 meter dari tebing Sungai Terengganu dan jauh dari jalan besar.

Katanya,  mayat Abdul Hadi kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN