Mampu tunai haji bukan sahaja soal duit - Utusan Malaysia

Mampu tunai haji bukan sahaja soal duit

Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengurusan haji sama ada Malaysia atau Arab Saudi berhak menentukan syarat-syarat yang menurut penilaian kedua-dua negara itu dapat mengurangkan bahaya kepada jemaah haji.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, syarat-syarat kesihatan yang ditetapkan itu adalah untuk menjaga keselamatan jemaah pada musim wabak ini.

Katanya, hal demikian kerana, golongan berpenyakit kronik berisiko tinggi sekali gus mendedahkan diri kepada bahaya.

“Menunaikan haji adalah kewajiban agama yang kita pergi apabila kita berkemampuan.

“Kemampuan bukan sahaja dalam soal duit, tapi juga kesihatan dan rintangan perjalanan. Syarat yang tidak dipenuhi itu, menunjukkan kemampuan tersebut telah hilang.

“Maka, jangan bimbang kerana Allah SWT tidak akan menghukum kita atas perkara di luar keupayaan kita,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, hanya 45 daripada 85 jemaah haji negeri ini yang ditawarkan ke tanah suci berjaya melepasi saringan kesihatan yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Ruzaini Rais dilaporkan berkata, 20 orang daripada mereka ada masalah obesiti, menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi tidak terkawal serta penyakit paru-paru kronik berdasarkan penilaian pegawai perubatan.

Sebelum itu, tular di media sosial syarat-syarat kesihatan yang layak bagi bakal jemaah untuk menunaikan haji tahun ini yang bertambah ketat.

Antara syarat-syarat baharu yang dikatakan ketat itu seperti obesiti Indeks Jisim Tubuh (BMI) mesti 40 dan ke atas, obesiti BMI 35-40 dan individu yang ada satu penyakit kronik seperti kencing manis/hipertensi, pesakit kencing manis dengan bacaan Hba1c 8.0% dan ke atas serta penyakit paru-paru kronik (COPD) walaupun tahap ringan didakwa tidak layak.

Syarat-syarat kesihatan tersebut adalah berdasarkan Garis Panduan Pemeriksaan Kesihatan Bakal Haji 1443H/ 2022M Edisi Khas Pandemik oleh Kementerian Kesihatan dan Lembaga Tabung Haji.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, jika benar niat seseorang itu menunaikan haji, namun syarat kesihatan pula menjadi keperluan musim ini, maka perlulah berusaha memenuhi syarat dan kemampuan tersebut.

“Dengan itu, menjaga kesihatan sehingga mampu ke haji merupakan perjuangan mengamalkan agama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN