Malaysia Teacher Prize diperkenal, tawar hadiah utama RM50,000 - Utusan Malaysia

Malaysia Teacher Prize diperkenal, tawar hadiah utama RM50,000

Samuel Isaiah mengacarakan majlis pelancaran Malaysia Teacher Prize pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Teacher Prize diperkenalkan buat julung kalinya di negara ini bagi memartabatkan lagi status para guru dan meraikan pencapaian guru cemerlang di negara ini.

Anugerah yang dianjurkan oleh Pemimpin Global School Leaders (GSL) dengan kerjasama YTL Foundation serta mendapat sokongan Kementerian Pendidikan itu dijadikan sebagai anugerah edisi Malaysia bagi Global Teacher Prize anjuran Varkey Foundation.

Pengarah Program GSL, Samuel Isaiah yang merupakan finalis Global Teacher Prize 2020 berkata, penganjuran anugerah ini di peringkat kebangsaan amat penting bagi mengiktiraf guru-guru Malaysia yang tidak pernah mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

“Sepanjang 12 tahun saya bergelar sebagai seorang guru, saya telah bertemu dengan begitu ramai guru yang bagus, tetapi, kebanyakannya tidak pernah mendapat pengiktirafan dan usaha mereka sebagai pendidik selama ini tidak dipandang sesiapa.

“Jadi, kami ingin beri peluang kepada semua guru-guru melalui anugerah ini, proses permohonan pun tidak sukar, tidak perlu takut dan cuba sahaja untuk memohon.

“Jika mereka mendapat anugerah ini, ia secara tidak langsung akan memberi motivasi kepada guru serta inspirasi kepada murid-murid untuk turut menceburi bidang perguruan,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran Malaysia Teacher Prize di ibu negara hari ini.

Anugerah itu menyasarkan penyertaan sebanyak 10,000 guru di seluruh negara, dengan pemenang hadiah utama akan menerima RM50,000 manakala empat lagi peserta akhir akan menerima RM5,000 setiap seorang.

Selain itu, 10 peserta akhir terbaik juga akan menerima manfaat untuk mengembangkan lagi kerjaya guru-guru tersebut dengan memahami impak mereka dengan lebih baik serta berpotensi untuk membawa hasil kerja keras mereka ke di luar sekolah.

Permohonan dibuka secara rasmi kepada guru yang sedang bekerja di Malaysia bermula hari ini hingga 30 Jun 2022.

Setiap calon hanya dibenarkan mengemukakan satu permohonan dan dikehendaki melengkapkan lima esei sepanjang 300-500 patah perkataan setiap satu serta muat naik bahan sokongan dalam bentuk dokumen, grafik atau video untuk melengkapkan permohonan.

Bagi mereka yang berminat untuk mencalonkan guru yang telah memberi inspirasi, mereka boleh berbuat demikian dengan menghantar pencalonan mereka dan memberikan maklumat asas mengenai penama mereka.

Penama masing-masing akan menerima e-mel yang menjemput mereka untuk membuat permohonan dan setiap individu dibenarkan mencalonkan seberapa ramai calon yang dikehendaki.

Pengumuman 10 guru terbaik yang disenarai pendek dijangka dikeluarkan pada Ogos 2022 manakala lima guru terbaik dan pemenang hadiah utama akan diumumkan dalam majlis anugerah pada Oktober 2022.

Guru-guru yang berminat boleh membuat permohonan melalui portal khas menerusi https://www.malaysiateacherprize.org.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya