MAFI keluarkan caj IP terhadap 4 komoditi agromakanan dimansuh AP - Utusan Malaysia

MAFI keluarkan caj IP terhadap 4 komoditi agromakanan dimansuh AP

MAFI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini mengeluarkan caj permit Import (IP) terhadap empat komoditi agromakanan yang dimansuh keperluan lesen import (AP). 

Menurut Unit Komunikasi Korporat (UKK) MAFI, kadar caj permohonan permit yang boleh dikenakan bergantung kepada kuantiti dan bilangan komoditi yang ingin diimport.

“Kadar caj IP untuk keratan ayam adalah RM0.20 sekilogram, RM50/permit bagi susu cair dan RM15/permit bagi kelapa tua biji dan kobis bulat. 

“Bagi komoditi pertanian yang lain, semua kadar caj permohonan permit adalah merujuk kepada Peraturan- Peraturan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Fi dan Caj) 2013, P.U.(A) 115, 2013, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurut UKK MAFI, semua syarat pengimportan adalah ditentukan oleh jabatan atau agensi dasar di bawah kementerian itu seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan. 

Manakala bagi pengimportan pertanian seperti tumbuhan, kenyataan itu berkata, syarat utama adalah setiap konsainan perlu diiringi dengan Sijil Fitosanitasi (PC) yang mengesahkan bahawa produk tersebut adalah bebas daripada penyakit dan serangga perosak.

“Bagi pengimportan hasil haiwan pula, setiap konsainan perlu diiringi dengan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) yang mengesahkan bahawa produk tersebut bebas daripada penyakit. Khusus untuk daging, Sijil Halal adalah tambahan syarat yang diperlukan. 

“Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan syarat pengimportan dan keperluan permit boleh dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia melalui emel [email protected],” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN