PETALING JAYA: Lokasi debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) mungkin terpaksa bertukar ke lokasi lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sedang mengenalpasti dua lokasi lain iaitu Dewan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur ataupun Dewan Sivik, Petaling Jaya.
Jelas beliau, pihaknya terpaksa mencari lokasi lain memandangkan pihak penganjur iaitu Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) masih belum mendapat kebenaran pihak universiti untuk tempat penganjuran debat tersebut.
“Masa terlalu suntuk, jadi kita tidak punya masa untuk menunggu pengesahan penganjur terhadap lokasi debat sama ada dibenarkan atau sebaliknya, maka kita sedang mengenalpasti dua dewan iaitu di Matic atau Dewan Sivik. Selepas kenalpasti tempat, barulah kita mohon permit polis.
“Setakat kini, masa dan waktu debat iaitu pada pukul 9 malam, 12 Mei ini kekal dan tidak berubah,” katanya.
Debat antara Najib dan Anwar membabitkan syarikat Sapura Energy dan isu-isu negara sebelum ini dijadualkan berlangsung di Dewan Tunku Canselor UM selama dua jam mulai pukul 9 malam dan boleh disaksikan secara fizikal atau melalui saluran media.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang permohonan daripada penganjur yang mahu menguruskan sesi debat tersebut.
“Undang-undang perlu dipatuhi dan tindakan akan diambil jika dilanggar,” katanya.
Pada April lalu, Fahmi dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, format debat itu merangkumi tiga bahagian iaitu permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Berhad (SEB), sama ada ia perlu diselamatkan atau sebaliknya.
Kedua, berhubung masa depan Malaysia merangkumi aspek politik, urus tadbir dan hala tuju negara serta ketiga adalah sesi soal jawab. – UTUSAN










