OPETALING JAYA: Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) mengesahkan belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak bagi mengadakan debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Matic memaklumkan perkara itu disahkan oleh pengarahnya, Rudy Irwan Shukaime, meskipun kedua-dua pihak terlibat mengumumkan debat itu akan diadakan di pusat tersebut pada 12 Mei ini.
“Kami telah dihubungi oleh beberapa pihak termasuk polis selepas pengumuman tersebut, namun berdasarkan jadual acara, program debat itu tidak tersenarai ketika ini.
“Malah, pengarah juga memaklumkan Matic tidak mendapat apa-apa permohonan daripada mana-mana pihak berhubung penganjuran debat buat masa ini, jadi kami tidak tahu mengapa pihak berkenaan memetik nama Matic,” katanya.
Dalam pada itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Matic dipilih sebagai lokasi terbaharu debat itu kerana ia adalah cadangan daripada pihak Najib.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan lokasi terbaru ini juga boleh berdepan masalah, sama seperti yang berlaku dengan lokasi di Universiti Malaya (UM).
“Matic adalah tempat private, jadi kita boleh membuat tempahan. Tetapi masih ada kemungkinan berdepan masalah. Padahal UM dahulu pernah menjadi hos kepada program melibatkan Anwar; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. Tiba-tiba sekarang ada masalah.
“Pihak Najib cadangkan Matic, kami cadangkan Dewan Sivik di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana lokasi itu tidak akan ada masalah. Namun di Matic, kita tidak tolak kemungkinan ada yang cuba batalkan debat ini saat akhir, tapi saya harap ia tidak berlaku lagi,” katanya.
Semalam, Najib dan Anwar mencapai kata sepakat untuk mengadakan Debat Perdana di Matic pada 12 Mei ini bermula pukul 9 malam.
Ini selepas lokasi debat itu yang sepatutnya diadakan di Dewan Tunku Canselor UM difahamkan tidak mendapat persetujuan pihak universiti tersebut.
Ditanya sama ada penganjuran itu sudah mendapat permit polis, Fahmi menjelaskan, pihaknya tidak perlu berbuat demikian.
“Sebenarnya, ia satu salah faham. Selepas pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012, kita tidak perlukan permit polis, hanya perlu memberikan pemakluman kepada polis. Namun, dalam soal ini, saya tidak salahkan pihak universiti,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kedua-dua pihak akan membuat keputusan sama ada penganjuran debat itu turut membenarkan kehadiran orang ramai, termasuk ahli UMNO dan PKR. – UTUSAN










