PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya lebih banyak pendidikan latihan teknikal dan vokasional dalam industri tekstil negara akan dapat diwujudkan pada masa hadapan dalam negara khususnya di Pahang.
Ismail Sabri berkata, beliau rasa bangga dengan sambutan memberangsangkan Pameran Tenun Pahang Diraja kerana melibatkan hasil kreativiti penghuni Penjara Penor dan Bentong di Pahang.
Beliau berkata, program tenunan seumpamanya boleh ditambah baik termasuk dari segi latihan dan kemahiran serta mendapat sokongan orang ramai.
“Perdana Menteri turut percaya lebih banyak pendidikan latihan teknikal dan vokasional dalam industri tekstil negara akan dapat diwujudkan pada masa hadapan di dalam negara khususnya di negeri Pahang,” kata kenyataan Istana Negara dalam Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Istana Negara memaklumkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri dan delegasi di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London, United Kingdom semalam.
Menurut Istana Negara, Perdana Menteri kemudiannya melawat Pameran Tenun Pahang Diraja yang diadakan buat julung kalinya di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, sempena Minggu Kraf London (London Craft Week) dari 9 hingga 15 Mei 2022.
“Raja Permaisuri yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja, turut berkenan memberi penerangan kepada YAB Perdana Menteri berkenaan pameran tersebut yang menampilkan busana tenunan hasil kerja tangan penghuni di Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang, termasuk pilihan pakaian Seri Paduka Baginda sendiri serta koleksi rekaan dan tenun peribadi,” kata Istana Negara.
Pameran bertemakan ‘Menyulam Harapan’ (Weaving Hope) turut menampilkan fabrik arkib dari Muzium Pahang dan koleksi baju kurung dan samping Riau-Pahang serta penenun yang merupakan bekas banduan penjara. –UTUSAN ONLINE