MELAKA: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka meningkat sembilan kali ganda iaitu sebanyak 977 kes, sejak awal tahun ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, sebelum ini, hanya 95 kes direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Ujarnya, bagaimanapun, kes HFMD di negeri ini masih terkawal meskipun mengalami peningkatan sebanyak 928 peratus.
“Jumlah kes direkodkan pada tahun lalu rendah kerana kebanyakan tadika, taska, pusat jagaan dan sekolah tutup akibat pandemik Covid-19.
“Tahun ini, semua pusat tersebut telah beroperasi seperti biasa dan kerana itu jumlah kes direkodkan naik mendadak daripada 95 kes kepada 977 kes dalam tempoh lima bulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, sebanyak 11 premis juga telah diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selepas didapati mencetuskan kluster HFMD.
“Setakat ini terdapat 13 kluster dilaporkan sehingga Minggu Epid (ME) Ke-18 membabitkan lima kes di tadika, manakala taska empat kes dan masing-masing dua kes di pusat jagaan dan rumah persendirian.
“Kita telah mengeluarkan arahan penutupan 11 premis termasuk tujuh di daerah Jasin, tiga premis di Melaka Tengah dan sebuah di Alor Gajah,” katanya. –UTUSAN ONLINE










