BENTONG: Kerajaan akan mempercepatkan tindakan mendalamkan sungai cetek yang dilihat antara faktor menyebabkan berlakunya banjir kilat di daerah ini termasuk di kawasan peranginan Janda Baik di sini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, ia langkah awal yang akan dilaksanakan selain pelan jangka panjang dan pendek bagi mengatasi masalah banjir kilat di daerah ini.
“Saya dimaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melihat sendiri tindakan yang boleh diambil jangka pendek dan panjang sebab seperti dikatakan Perdana Menteri, kalau kita hanya selesaikan jangka pendek, tiap kali hujan lebat akan berlaku lagi banjir.
“Saya dimaklumkan sungai agak cetek kita akan lihat dan teliti, tindakan segera akan diambil,” katanya selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di Janda Baik di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir. Dr. Md. Nasir Md. Noh; Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Seramai 160 ketua isi rumah yang terjejas banjir di Janda Baik semalam menerima bantuan wang ihsan berjumlah RM1,000 sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mohd. Zuki berkata, kerja mendalamkan dan membersihkan sungai akan dipercepatkan dalam usaha mengelak bencana banjir terus berulang.
Beliau berkata, untuk jangka panjang pula, projek tebatan banjir yang melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir di daerah Bentong.
Tambahnya, pihaknya juga meneliti pelbagai inisiatif lain dalam mengelakkan berlaku banjir termasuklah pembinaan kolam takungan.
“Kita di peringkat Persekutuan telah membincangkan dengan jemaah menteri, sebenarnya perlu ada tindakan jangka pendek dan jangka panjang,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










