PENDANG: Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan program temuduga di seluruh negara untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor pelancongan dan perhotelan terutama di Langkawi.
Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, program tersebut bermula sejak awal Mei lepas di Sabah dan Sarawak antara agensi di bawah kementeriannya dan pemain industri terlibat.
“Kementerian Sumber Manusia melalui agensinya kini giat jalankan temuduga di Sabah dan Sarawak untuk ambil pekerja di sektor pelancongan dan perhotelan di Langkawi. Kita tumpukan di Sabah dan Sarawak secara agresif untuk isi kekosongan dalam sektor ini untuk kurangkan pekerja asing dalam sektot pelancongan.
“Kita akan pastikan agensi terlibat di bawah kementerian adakan temuduga ini secara lebih kerap dan pantas untuk ambil anak muda dari Sabah dan Sarawak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai di Kampung Gajah Mati di sini, hari ini.
Tambahnya, program berkenaan yang dijalankan segala agresif diyakini mampu mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja itu selain mengurangkan kebergantungan pekerja warga asing dalam sektor terlibat.
““Buat masa sekarang, tiada keperluan untuk pekerja asing isi sektor pelancongan dan perhotelan. Bila buat operasi di Langkawi, kita dapati di dua hotel bertaraf lima bintang hanya ada seorang pekerja asing sementara 99 peratus adalah pekerja tempatan.
“Tidak timbul kata pekerja tempatan tidak mahu bekerja dalam sektor ini. Saya harap dengan peluang yang ada pekerja tempatan akan ambil kesempatan. Ini bukan sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) jadi sesuai dengan kehendak masyarakat kita,” katanya.
Beliau menambah, berdasarkan pemerhatian, sebanyak 17,000 pekerja diperlukan dalam sektor pelancongan dan perhotelan di Langkawi sejak sektor berkenaan kembali dibuka melalui gelembung pelancongan.
“Dalam rekod Perkeso terdapat lebih 2,164 majikan aktif dalam sektor pelancongan dan perhotelan di Langkawi yang memerlukan pekerja. Berdasarkan pemohonan mereka, sektor berkenaan memerlukan sehingga 39,000 pekerja dalam sektor pelancongan dan perhotelan di Langkawi.
“Kita tengok ia satu permintaan yang besar jadi kita perlu lihat dan beri perhatian kepada majikan ini supaya mereka mengisi permohonan pekerja dalam portal melalui Perkeso iaitu MyFutureJobs,” katanya.
Kementerian Sumber Manusia, katanya, turut menafikan perintah gaji minimum (PGM) 2022 menjadi faktor kekurangan pekerja dalam sektor berkenaan memandangkan majikan dalam sektor itu bersedia melaksanakan perintah tersebut sejak 1 Mei lepas.
Jelasnya, sebagai langkah jangka masa panjang Kementerian Sumber Manusia akan menumpukan perhatian dalam latihan kemahiran berkaitan sektor pelancongan dan perhotelan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang ini.
Utusan Malaysia pada 11 Mei lalu melaporkan industri pelancongan Langkawi mungkin lumpuh berikutan pulau peranginan itu kini dilaporkan mengalami kekurangan tenaga kerja kritikal.
Ia khususnya dalam bidang hospitaliti seperti perhotelan dan peruncitan untuk menampung permintaan tinggi pelancong.










