Kaji kebenaran guru belum vaksin bersemuka pelajar

Kaji kebenaran guru belum vaksin bersemuka pelajar

RAMAI ibu bapa mempersoalkan langkah kerajaan membenarkan guru yang belum mengambil vaksin bersemuka dengan pelajar di sekolah. – MiNGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan diminta mempertimbangkan semula keputusan membenarkan guru yang belum divaksin untuk mengajar secara bersemuka.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, ia berikutan ramai ibu bapa yang bimbang anak-anak mereka berisiko dijangkiti Covid-19 daripada golongan berkenaan.

“Kerajaan perlu meneliti semula keputusan membenarkan guru yang belum divaksin ini mengajar semula di dalam kelas seperti biasa. Aduan yang saya terima, ada ibu bapa takut merebaknya penyakit di­sebabkan masih ada yang belum divaksin.

“Saya juga menerima persoalan, apa sudah jadi pada arahan awal yang mereka tidak divaksin hanya membuat kerja-kerja pentadbiran? Hal ini perlu difikirkan dan diputuskan sebelum kerajaan mencapai keputusan muktamad sebab terdapat percanggahan pada arahan awal dan terkini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan, guru-guru yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam bilik darjah bermula 1 Mei ini selain boleh berada di bilik guru dan premis-premis lain di sekolah.

Selain itu, kerajaan juga mewajibkan murid hadir ke sekolah dan kegagalan berbuat demikian berisiko untuk diambil tindakan, kecuali mempunyai sebab tertentu termasuk didapati positif Covid-19.

Mengulas perkara itu, Mohamad Ali menyarankan supaya kerajaan tidak mengambil tindakan drastik seawal yang mungkin sebaliknya menggunakan pendekatan berhemah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN