PUTRAJAYA: Hasrat kerajaan Pulau Pinang yang mahu memulakan segera projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) menjelang akhir Jun ini kemungkinan perlu dilewatkan.
Ia susulan keputusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuka peluang kepada orang awam membuat semakan dan ulasan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) sebelum 3 Julai depan.
Penangguhan ini ekoran kelewatan pameran awam laporan EIA yang hanya mula disiarkan sejak 20 Mei lalu sehingga 18 Jun ini termasuk menerusi laman sesawang rasmi agensi itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada 3 Mac lalu malah mengesahkan kerajaan negeri terpaksa menghantar laporan EIA baharu kepada JAS selewat-lewatnya awal April.
EIA sebelum ini dibatalkan selepas sebuah mahkamah di Pulau Pinang menerima rayuan para penduduk dan mendapati laporan itu gagal memenuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Kes yang diputuskan pada 8 September 2021 lalu itu turut mendapat perhatian luas pelbagai badan bukan kerajaan kerana didakwa bakal merosakkan teruk alam sekitar pulau tersebut.
Kerajaan negeri namun memberi jaminan PSR yang juga dikenali Penang South Island (PSI) ialah sebahagian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bagi melestarikan imej negeri.
Berdasarkan hantaran infografik dipaparkan melalui laman sosial JAS, projek kontroversi ini melibatkan penebusgunaan laut untuk dibina tiga pulau buatan dan berkeluasan 1,821 hektar.
Komponen projek mega itu turut membabitkan kerja-kerja pengorekan di sekitar Pulau A, B dan C selain pembinaan struktur pantai serta jambatan penghubung dengan tempoh berbeza.
Pulau A yang berkeluasan 931 hektar akan disiapkan terlebih dahulu dalam masa sembilan tahun seiring dengan jirannya, Pulau B yang melibatkan penambakan seluas cuma 567 hektar.
Pulau C yang bersaiz paling kecil dengan keluasan 323 hektar pula mampu disiapkan lebih cepat dalam lima tahun manakala jarak jauh tiga pulau itu dari George Town ialah 22 kilometer.
Menurut JAS, projek digerakkan sendiri kerajaan Pulau Pinang itu akan memberi impak positif dan negatif terhadap alam sekeliling tetapi langkah mitigasi diperincikan dalam laporan EIA.
Ringkasan eksekutif dan laporan EIA bagi projek itu boleh diperoleh daripada Perpustakaan JAS di ibu pejabatnya di Aras 1, Wisma Sumber Asli, Presint 4 di sini hingga 18 Jun depan.
Dokumen ini juga ada disediakan di JAS Pulau Pinang, Aras Bawah, Wisma Persekutuan, Kepala Batas selain Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Aras 3, Komtar, Georgetown.
Orang awam turut boleh menghubungi rakan pelaksana projek, SRS Consortium Sdn. Bhd. di Pulau Pinang atau jururunding EIA, Dr. Nik & Associates Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur.- UTUSAN