'Jangan khuatir hantar anak ke sekolah Isnin ini' - Exco Melaka

Jangan khuatir hantar anak ke sekolah Isnin ini – Exco Melaka

RAIS Yasin bercakap kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Paya Rumput, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memberi jaminan akan mengawal kes penularan Covid-19 sekiranya berlaku gelombang Hari Raya Aidilfitri pada pembukaan semula sekolah, Isnin ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar semula anak mereka ke sekolah atas alasan keselamatan. 

Jelasnya, JPN telah melakukan persiapan rapi mengawal selia sebarang kemungkinan penularan pandemik dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah pengoperasian institusi pendidikan.

“Kepada ibu bapa, ikutlah apa saranan Kementerian Pendidikan iaitu kalau kita sudah boleh bersekolah secara penuh, saya seru hantarlah anak ke sekolah. 

“Dengan SOP yang ada saya yakin dan percaya kalau ada kes tiba-tiba mendadak naik, kami di peringkat kerajaan negeri akan pastikan benda itu dikawal selia dengan baik,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Paya Rumput di sini.

Mengulas lanjut mengenai sikap segelintir ibu bapa yang mengambil mudah kehadiran anak-anak ke sekolah khususnya dalam tempoh seminggu sebelum Syawal atas alasan keselamatan, Rais tidak menolak situasi itu berlaku, namun ia adalah kes terpencil. 

“Memang saya ada dengar, tetapi saya tidak dapat lagi satu laporan yang lengkap jadi tidak dapat nak ulas secara terperinci. 

“Namun, saya percaya ia adalah kes-kes terpencil,” jelasnya. 

Dalam pada itu, tambahnya lagi, JPN akan memberi perhatian kepada lapan buah sekolah yang dilaporkan mengalami masalah kekurangan kelas. 

“Sebuah sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong telah siap dibina melibatkan kos RM24 juta dan dijangka beroperasi akhir Jun ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN