Jangan cemari pemilihan dengan tindakan tidak menguntungkan parti - Utusan Malaysia

Jangan cemari pemilihan dengan tindakan tidak menguntungkan parti

AMIRUDIN Shari menghadiri Majlis Aidilfitri dan Rapat Mega #KITASEMUAKEADILAN di Dewan Tulip Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 32 di Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kempen pemilihan PKR yang berlangsung pada minggu ini diharapkan tidak dicemari dengan tindakan yang tidak menguntungkan mana-mana pihak mahupun parti.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, calon dan penyokong perlu memberi tumpuan kepada pemilihan kali ini yang dianggap penting sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Maka, semua calon yang bertanding diharap bertanding dengan semangat perpaduan. Saya juga berdoa pemilihan kali ini berlangsung dengan baik dan berharap semua calon menjaga penyokong masing-masing sepanjang tempoh kempen.

“Kita tidak mahu pemilihan kali ini dicemari dengan tindakan penyokong yang tidak menguntungkan sesiapa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri dan Rapat Mega #KITASEMUAKEADILAN di Dewan Tulip Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Bukit Naga, Seksyen 32 hari ini.

Yang hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd.Zawawi Ahmad Mughni dan Sentosa, Dr.Gunaraj George.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor turut memaklumkan bahang pemilihan PKR tidak sahaja berlaku di Selangor walaupun negeri ini walaupun ditadbir oleh kerajaan parti itu, sebaliknya turut dirasai di seluruh negara.

“Sememangnya pemilihan parti meriah di seluruh negara bukan sahaja di Selangor. Esok saya akan berkempen di Sarawak. Sebelum ini saya telah ke Sabah, Terengganu dan Kelantan untuk berkempen,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pemilihan parti adalah demi memperkuatkan parti bukan sahaja untuk PRU-15 tetapi PRU yang seterusnya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak perlu menjadikan pemilihan parti kali ini sebagai wadah membentuk pasukan yang kuat untuk berjuang bersama Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN