PETALING JAYA: Kekurangan antara 15 hingga 20 peratus atau 50,000 tenaga kerja dalam industri hotel dan pelancongan perlu ditampung segera bagi menghidupkan sektor tersebut.
Sebelum pandemik Covid-19, dianggarkan terdapat 250,000 tenaga kerja dalam industri itu sebelum penyusutan menyebabkan pekerja hotel berdepan beban kerja yang bertambah.
Pada masa ini empat pekerja ditugaskan menguruskan 50 bilik hotel berbanding dahulu melibatkan 20 hingga 30 orang menjaga 100 bilik bagi tugasan mengemas bilik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid berkata, peningkatan keuntungan sektor perhotelan sepanjang percutian diikuti pembukaan sempadan mula menampakkan perubahan positif sekali gus membolehkan pengambilan tenaga kerja baharu.
“Industri hotel dilihat lebih mendapat perhatian semasa musim perayaan ini. Ramai yang mendapat cuti panjang dan ini amat menguntungkan industri hotel kerana mereka menetap sepanjang perayaan ini.
“Dari segi penginapan, ada yang melaporkan hotel yang berada di luar Kuala Lumpur mendapat peningkatan keuntungan sehingga 60 ke 70 peratus. Sebelum ini bawah 30 ke 70 peratus sahaja (keuntungan),” katanya ketika dihubungi di sini.
Kata Shaharuddin, isu utama sektor pelancongan ketika ini adalah tenaga kerja kritikal sehingga mampu ‘melumpuhkan’ operasi khususnya perhotelan yang mendapat banyak tempahan bilik secara mengejut.
“Jadi hotel tak boleh sepenuhnya membuka bilik. Banyak hotel tidak mampu mengawal tetamu yang memakan masa lima jam menunggu. Kita suka keadaan yang menggalakkan tetapi kita mempunyai masalah kurang kakitangan,” ujarnya. – UTUSAN










