TAIPING: Ibu bapa disarankan mengasingkan anak mereka yang telah dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) bagi mengelakkan penularan penyakit itu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, jika terdapat tanda-tanda penyakit itu seperti demam, lemah badan dan ruam pada tapak tangan dan kaki, kanak -kanak perlu diasingkan.
Menurutnya, penyakit itu mudah merebak dan kanak-kanak yang terkena jangkitan itu perlu hidrasi yang cukup iaitu minum secukupnya.
“Penyakit ini mudah berjangkit kepada kanak-kanak berusia bawah 10 tahun. Lain-lain tanda jangkitan ialah lepuhan dalam bahagian mulut iaitu pada lidah dan gusi.
“Sebab itu ibu bapa kena pastikan anak-anak mereka mengambil hidrasi dengan baik iaitu minum air secukupnya dan pastikan semasa memberi minum, air dapat diteguk walaupun sedikit -sedikit.
“Sekiranya kanak-kanak itu tidak mampu untuk meneguk air yang diberikan, maka, ia perlu dibawa ke hospital,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Taman Taiping Villa di sini hari ini.
Menurut Noor Azmi, rumah kediaman, tadika dan taska atau mana-mana tempat yang dikesan menjadi tempat penularan penyakit perlu dilakukan sanitasi sepenuhnya bagi mencegah penyakit itu merebak.
Katanya, pihak taska dan tadika yang mencatat kes penyakit itu perlulah mengambil inisiatif untuk menutup sementara operasi bagi membendung penularan penyakit itu dan melakukan sanitasi di premis.
“Kita menyarankan pemilik taska dan tadika tutup sementara operasi mereka sekiranya berlaku penularan wabak di tempat mereka, namun, ia tergantung kepada kerelaan pemilik premis itu sendiri bagi membendung penyakit ini.
“Tutup untuk beberapa hari bagi tujuan sanitasi dan pembendungan wabak demi keselamatan kesihatan umum terutamanya kepada penghuni kanak-kanak di tempat itu,” katanya.
Sementara itu, mengulas penggunaan daun semambu dan kunyit sebagai rawatan alternatif kepada pesakit HFMD, Noor Azmi berkata, belum ada pembuktian secara sains penggunaan bahan itu dapat menyembuhkan penyakit itu.
Menurutnya, HFMD disebabkan oleh Enterovirus atau virus yang biasanya menyerang adalah Coxsackievirus A16 dan setakat ini tiada rawatan yang spesifik dari segi sains.
“Penyakit ini tidak membawa gejala yang sangat teruk, namun, mudah merebak dan yang kita bimbangkan ialah pesakit dehidrasi, sebab itu pesakit perlu diasingkan dan diberi rawatan simptomatik.
“Kementerian Kesihatan tidak menggalakkan rawatan-rawatan alternatif seperti pengunaan daun mambu dan kunyit kerana tidak ada fakta yang sahih dari segi sains,” katanya.- UTUSAN ONLINE










