SHAH ALAM: Data terkini mengenai penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini sudah diperoleh untuk tindakan lanjut termasuk cadangan penutupan taska, tadika dan pusat asuhan kanak-kanak.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, susulan perolehan maklumat tersebut, kerajaan negeri bersedia untuk berbincang langkah selanjutnya dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
“Kita menerima laporan berhubung kes HFMD di negeri ini dan sedang melakukan analisa untuk langkah seterusnya. Kes jangkitan HFMD agak membimbangkan dan sedang merebak di negeri ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Aidilfitri dan rapat mega #KITASEMUAKEADILAN di Dewan Tulip MBSA Bukit Naga, Seksyen 32, di sini, hari ini.
Semalam, beliau dilaporkan berkata, penutupan taska, tadika dan pusat jagaan harian di Selangor susulan peningkatan kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan diputuskan dalam tempoh terdekat.
Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan khas dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi membincangkan isu kesihatan termasuk HFMD minggu ini.
“Insya-Allah, selepas semua laporan diperhalusi dalam dua tiga hari, kita akan memutuskan langkah sewajarnya,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










