fbpx

Harga tepung gandum naik lebih 50 sen sejak sebelum Ramadan

NOR Haliza Harun menunjukkan bekalan tepung yang berkurangan di kedai runcitnya di Kuala Terengganu, hari ini. -TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

KUALA TERENGGANU: Isu kekurangan bekalan tepung gandum di pasaran menyebabkan harga barangan itu naik antara lebih 50 sen sekilogram sejak sebelum Ramadan lalu.

Seorang peniaga, Nor Azmi Harun, 39, berkata, harga jualan sepaket tepung gandum sekilogram kini adalah antara RM3.10 hingga RM3.30 bergantung kepada jenama iaitu meningkat daripada RM2.50.

Dia turut tidak menolak kemungkinan harga itu akan terus melambung dalam masa terdekat jika import barangan itu terus terjejas.

“Harga terkini daripada pembekal adalah antara RM29 hingga RM30 untuk sekotak tepung gandum bersaiz 10 kilogram berbanding RM25 lebih sebulan lalu.

“Malah, saya dapati sudah berlaku pembelian panik dalam kalangan pengguna hingga menjejaskan bekalan tepung gandum,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar melaporkan peruncit dan peniaga kini mula resah apabila pihak pemborong mendakwa bekalan tepung gandum hanya mampu bertahan setakat Julai ini berikutan kekurangan bahan utama untuk diproses di peringkat pengilang.

Sementara itu, seorang lagi peniaga kedai runcit, Nor Haliza Harun, 38, berkata, hampir setiap bulan harga tepung gandum naik hingha turut menjejaskan perniagaannya.

“Saya tidak boleh simpan barangan itu terlalu lama kerana risau risiko rosak.  Bekalan masih terkawal walaupun jumlahnya berkurangan, namun, setakat ini saya belum mengehadkan pembelian kepada pelanggan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!