Hanya 4 komoditi agromakanan dimansuh AP - Utusan Malaysia

Hanya 4 komoditi agromakanan dimansuh AP

MAFI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya empat jenis komoditi agromakanan tertentu tidak lagi dikenakan permit import (AP) atau kelulusan kuota import dan kebenaran mengimport.

Ia melibatkan kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan  ayam dan ayam bulat) dan susu cair. 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan, bagaimanapun, AP untuk pengimportan beras masih lagi berkuat kuasa.

Menurutnya, keputusan pemansuhan AP ini adalah sebagaimana diputuskan Jemaah Menteri seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

“Walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk membawa masuk komoditi agromakanan daripada luar negara, pengimport masih perlu mempunyai Import Permit (IP) bagi  tujuan kawalan biosekuriti di pintu-pintu masuk negara.

“Ini untuk memastikan kawalan biosekuriti dan produk yang diimport adalah bebas daripada penyakit dan perosak serta diperoleh daripada loji yang diiktiraf kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan ke­perluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta se­bagai langkah drastik menjamin keselamatan dan bekalan makanan di negara ini.

Dengan pemansuhan keperluan permit itu, ia bermakna sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini, berbanding kemestian AP. 

Dalam pada itu, MAFI berkata, dengan pemansuhan AP ini, semua syarikat adalah dibenarkan mengimport semua komoditi agromakanan tertakluk kepada IP yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Katanya, ia beserta syarat-syarat yang tertulis dalam permit selaras dengan subseksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan juga akta serta peraturan lain yang berkuat kuasa.

 “MAFI akan terus memainkan peranan penting bagi memastikan kelangsungan sektor  agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan dan supaya rakyat terus mendapat  bekalan makanan yang mencukupi, selamat dimakan serta berkhasiat. 

“Pada masa sama, kebajikan pengeluar makanan tempatan juga akan terus dipelihara,” katanya.

MAFI berharap dengan keputusan kerajaan ini, bekalan makanan dan sekuriti  makanan negara akan terus kekal terjamin bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya