Dzulkifli tidak tolak kemungkinan bertanding PRU15 - Utusan Malaysia

Dzulkifli tidak tolak kemungkinan bertanding PRU15

DZULKIFLI Ahmad (dua dari kiri) turut mengagihkan lebih satu tan ikan percuma kepada penduduk di sekitar Tasek Gelugor di Maahad Tahfiz As Syafee (Matas), Lubuk Meriam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: “Saya sebenarnya tidak terlibat dengan politik dan bukan ahli kepada mana-mana parti politik.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak sekiranya ada kehendak daripada penduduk Tasek Gelugor untuk saya bertanding (pada Pilihan Raya Umum Ke-15).”

Itu kata Penasihat Kehormat Kelab Anak-Anak Pulau Pinang, Tan Sri Dzulkifli Ahmad ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau akan bertanding pada PRU-15 selepas terdapat ura-ura mengenai perkara itu ketika ini.

Dzulkifli yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, sama ada terlibat dengan pilihan raya atau tidak, beliau akan terus berbakti kepada penduduk di sekitar kawasan itu.

“Saya sebenarnya dilahirkan di Kepala Batas. Kemudian, bapa saya berpindah ke Tasek Gelugor. Jadi, tempat ini juga merupakan kampung saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dzulkifli ditemui semasa program pengagihan ikan percuma bersama pendakwah terkenal, Ustaz Abdullah Khairi (UAK) di hadapan Maahad Tahfiz As Syafee (Matas) di sini.

Pada program tersebut, lebih satu tan ikan kembung yang dibungkus dalam plastik seberat lebih satu kilogram (kg) diagihkan kepada penduduk setempat termasuk pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut dan habis dalam tempoh lebih sejam sahaja.

Selain Matas, pengagihan ikan percuma itu turut dibuat di hadapan pejabat Dzulkifli di Jalan Pokok Sena di sini.

Dalam pada itu Dzulkifli berkata, tujuan program tersebut diadakan ialah bagi meringankan beban penduduk setempat khususnya susulan peningkatan harga barang termasuk ikan pada ketika ini.

“Insya-Allah, kita akan adakan program seperti ini secara berterusan selepas ini. Mungkin pada setiap bulan untuk membantu mereka,” katanya yang memberitahu, sumbangan itu dibuat atas kapasiti peribadi sebagai tanda prihatin terhadap isu berkenaan.UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN