PETALING JAYA: Semua 29 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Khamis ini perlu melaporkan diri terlebih dahulu walaupun berdepan masalah kecederaan mahupun peribadi.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Saifuddin Abu Bakar berkata, keputusan sama ada memberikan kebenaran pengecualian atau sebaliknya hanya akan diberikan selepas pemain menjalani pemeriksaan.
“Kepada semua pemain yang dipanggil menjalani latihan pasukan kebanagsaan saya mohon agar tuan-tuan hadir melaporkan diri 19 Mei ini (Khamis) di Hotel PJ Hilton.
“Walaupun cedera atau ada masalah peribadi, hadirkan diri dulu dan barulah jurulatih serta pasukan akan membuat keputusan selepas pemeriksaan.
“Walaupun kaki atau leher anda (pemain) bersimen pemain perlu laporkan diri dahulu,” katanya.
Tambahnya lagi, FAM akan menjalankan siasatan penuh sebelum mengambil tindakan ke atas mana-mana pemain yang gagal melaporkan diri mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
“Bukan kerana mereka ini pemain bola sepak negara, tetapi kita kena faham pemain juga pun ada masalah peribadi sendiri, kita dapat lihat juga sebelum ini ada pemain yang kehilangan bapa dan emak dating melaporkan diri.
“Kita tidak boleh terburu-buru ambil tindakan, kena buat siasatan penuh dan cadangkan apa tindakan yang boleh diambil,” katanya.
Semalam, Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon telah menyenaraikan 29 pemain menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Khamis, 19 Mei 2022 bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Brunei pada 27 Mei 2022 dan Hong Kong pada 1 Jun 2022.
Seterusnya skuad kebangsaan bakal mengharungi perlawanan sebenar dalam Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan (8 Jun 2022), Bahrain (11 Jun 2022) dan Bangladesh (14 Jun 2022), kesemuanya akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Sebelum ini FAM berdepan dengan masalah untuk memastikan kehadiran pemain menjalani kem Latihan ekoran beberapa pemain yang dipanggil tidak melaporkan diri tanpa memaklumkan sebarang sebab hingga menjejaskan perancangan skuad kebangsaan. – UTUSAN










