PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri mengesahkan kebocoran data peribadi yang melibatkan 22 juta individu didapati bukan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, data tersebut kemungkinan besar dikumpul daripada pelbagai sumber agensi tertentu sebelum dijual balik kepada awam.
“Kita ada membuat siasatan terperinci namun pihak kementerian juga ada mekanisme tersendiri bagi membuktikan data itu sebenarnya bukan daripada JPN,” katanya kepada pemberita pada sambutan Majlis Aidilfitri kementerian tersebut yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.
Semalam, sebuah portal berita tempatan melaporkan kebocoran data jutaan rakyat Malaysia bersumberkan dari laman forum Lowyat.Net yang dijual atas talian pada harga RM43,000.
Ia mendakwa data itu meliputi mereka lahir dari tahun 1940 sehingga 2004 lalu termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat, tarikh lahir, jantina, kaum, agama dan nombor telefon.
Penjual data tersebut yang hanya dikenali sebagai myIdentiti API itu turut menunjukkan butiran Hamzah sendiri malahan mempunyai akses rekod peribadi daripada agensi kerajaan.
Mengulas lanjut, beliau dalam nada sindiran berkata, semua pihak boleh mendakwa konon memiliki data daripada pihak JPN sebagai strategi pemasaran tetapi ia belum tentu sahih.
“Kes sebegini sebenarnya pernah berlaku beberapa tahun lalu dan setelah dilakukan siasatan rapi, rupa-rupanya butiran maklumat pelanggan pelbagai syarikat yang dikumpul,” katanya.
Bagaimanapun pada masa yang sama, beliau memberi jaminan akan mengambil serius isu tersebut dan akan memanggil pihak terlibat dengan segera untuk menyemak dakwaan itu.v
Justeru, beliau meminta orang ramai supaya bertenang dan memberi ruang kepada pihak kementerian tersebut untuk menyiasat kes berkenaan sebelum hasilnya dimaklumkan kemudian. – UTUSAN










