Dapatkan segera vaksin untuk anak-anak - Utusan Malaysia

Dapatkan segera vaksin untuk anak-anak

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Golongan ibu bapa di negeri ini digesa segera membawa anak-anak masing-masing untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), peratusan pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Untuk Kanak-kanak (PICKids) bagi  Pulau Pinang sehingga 8 Mei lalu adalah pada kadar 49.5 peratus untuk dos pertama manakala dos kedua (37.7 peratus).

Jelas beliau, kadar pencapaian itu agak membimbangkan memandangkan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 adalah berisiko mengalami sindrom keradangan multisistem atau Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) yang amat berbahaya dan mampu membawa kepada kematian.

”Kasihanilah anak-anak kita, ibu bapa perlu membuat keputusan yang betul dengan membawa anak masing-masing mendapatkan suntikan vaksin sebelum 15 Mei  khasnya di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) yang masih beroperasi secara ‘walk-in’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin  berkata, kadar vaksinasi kanak-kanak amat membimbangkan apabila mengambil kira tarikh tutup 15 Mei semakin hampir.

Menurut Kon Yeow, tarikh berkenaan merupakan tarikh akhir yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi PICKids (membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun).

“Selepas dari tarikh ini sebarang suntikan vaksin adalah memerlukan tanggungan kos sendiri,”katanya.

Dalam pada itu Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pelbagai usaha dalam meningkatkan kadar suntikan sedia ada di samping sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan yang melibatkan ancaman Covid-19. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN