PUTRAJAYA: Sejumlah RM15 juta dana tambahan diluluskan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi membiayai projek genomic surveillance virus SARS-CoV-2 sebagai memperkukuh ekosistem sokongan pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, projek yang memasuki fasa tiga ini amat penting dan strategik bagi mengenal pasti dan memantau varian virus SARS-CoV-2 di Malaysia terutamanya variant of concern (VOC) seperti varian Omicron dan Delta.
Katanya, konsortium 11 makmal yang diselaraskan oleh Institut Genom dan Vaksin Malaysia-Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (MGVI-NIBM) menyasarkan untuk menjujuk sebanyak 15,000 tambahan genom virus SARS-CoV-2.
“Konsortium 11 makmal ini terdiri daripada MGVI-NIBM di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Institute for Medical Research (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan sembilan makmal di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Ia melibatkan Institute of Health and Community Medicine dari UNIMAS, UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI), Institute iPROMISE UiTM, Tropical and Infectious Diseases Research Centre (TIDREC) di UM, Pusat Kesihatan UM (UMMC), Hospital USM (HUSM), Hospital Pengajar UPM (HPUPM), Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC@IIUM) di UIAM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sehingga 27 April lalu, sejumlah 15,565 sampel telah dijujuk, dianalisis dan maklumat genom virus SARS-CoV-2 berkenaan telah dimuat naik ke pangkalan data Global Initiative on Sharing Avian Influenza Data (GISAID).
Menurutnya, taburan varian-varian utama virus SARS-CoV-2 di Malaysia terdiri daripada 7,245 sampel atau 46.55 peratus dikenal pasti sebagai varian Delta, 6,374 sampel (40.95 peratus) varian Omicron, 283 sampel (1.82 peratus) varian Beta dan 33 sampel (0.21 peratus) varian Alpha.
“Sampel-sampel ini dipilih oleh pihak KKM dan diambil dari semua negeri di Malaysia. Analisis garis masa pola perubahan varian di Malaysia menunjukkan peningkatan jumlah varian Delta dan Omicron masing-masing bermula sekitar bulan Ogos dan Disember tahun lalu.
“Varian Delta dan Omicron ini diketahui lebih berbahaya dengan kadar infektiviti lebih tinggi dan mampu menjangkiti kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksinasi serta dos penggalak.
“Mereka yang belum divaksin juga berisiko tinggi untuk mudah mendapat varian Delta dan Omicron, justeru vaksinasi adalah perlindungan terbaik melawan varian tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, bagi varian Omicron, pola garis masa perubahan sub-varian Omicron di Malaysia dari November 2021 hingga April tahun ini menunjukkan 3,010 sampel adalah sub-varian Omicron BA.2, 1,989 sampel sub-varian BA.1.1 dan 694 sampel sub-varian BA.1.
“Pola tersebut menunjukkan lineage BA.1 dan BA.1.1 mendominasi pada ketika awal kemunculan Omicron pada akhir tahun lalu, tetapi, ia mula beralih ke lineage BA.2 seawal Januari 2022.
“Hampir kesemua (>99 peratus) sampel yang dijujuk dalam bulan Mac dan April 2022 adalah daripada lineage BA.2 dan sub-lineagenya,” ujarnya.
Beliau menambah, maklumat berkenaan genom varian virus SARS-CoV-2 amat penting untuk kerajaan mengambil tindakan wajar dan khusus bagi mengawal dan membendung penularan varian-varian berkaitan.
“Apabila virus SARS-CoV-2 ini bermutasi, varian baharu yang muncul mungkin mempunyai keupayaan berbeza termasuk dari segi kebolehjangkitan, keterukan gejala, ketepatan ujian diagnostik dan keberkesanan vaksin dan terapeutik.
“Sebagai contoh, kajian menunjukkan varian Omicron pada masa ini mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi tetapi dengan gejala kurang teruk berbanding dengan varian Delta disebabkan oleh mutasi yang menyebabkan perubahan dalam mekanisme virus itu untuk menjangkiti sel manusia.
“Kadar genomic surveillance iaitu kadar genom yang dijujuk per-jumlah kes positif disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah di antara lima hingga 20 peratus berdasarkan pengiraan pada tahap keyakinan 95 peratus untuk dapat mengesan varian yang beredar dalam populasi sesebuah negara, terutamanya pada peringkat awal peredaran,” jelasnya.
Sehubungan itu, Adham berkata, pengesanan varian yang baharu muncul akan memerlukan sampel lebih besar dan kadar genomic surveillance lebih tinggi berbanding pengesanan varian yang telah merebak dengan meluas.
Katanya, oleh itu, kadar genomic surveillance ini secara langsung berkait dengan keupayaan pengesanan awal VOC baharu dan pengawalan kluster-kluster baharu.
“Pada masa ini, kadar genomic surveillance bagi negara kita masih kurang daripada satu peratus, bagaimanapun fasa tiga ini adalah sebahagian daripada usaha positif bagi mencapai sekurang-kurangnya satu peratus kadar genomic surveillance seperti disasarkan oleh kerajaan.
“MOSTI melalui usaha sama MGVI-NIBM dan agensi serta institut di bawah seliaan kementerian berkaitan akan terus menerajui bidang R&D genom bagi menyokong agenda kesihatan nasional, seterusnya sekuriti kesihatan rakyat Malaysia dalam memerangi penyakit berjangkit, terutamanya Covid-19 dapat diperkasakan,” katanya. –UTUSAN ONLINE