GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) perlu meneliti punca berlakunya banjir kilat di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu pagi tadi sehingga menyebabkan kesesakan trafik yang teruk di kawasan itu.
Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, ia bagi memastikan sama ada projek pembangunan di kawasan berhampiran menjadi punca sistem perparitan di situ tidak dapat berfungsi dengan baik dan mengakibatkan banjir kilat berlaku.
”Banjir kilat di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu pagi tadi telah menyebabkan kesesakan trafik yang teruk dan mengakibatkan ramai pengguna lewat untuk ke tempat kerja.
”Situasi ini membangkitkan persoalan tentang keberkesanan sistem perparitan lebuh raya ini kerana banjir kilat tidak patut berlaku di lebuh raya itu yang merupakan antara jalan utama di bahagian pulau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hujan lebat awal pagi tadi menyebabkan berlaku banjir kilat di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan berlaku kesesakan sehingga lebih sejam di kawasan berkenaan akibat banjir.
Menurut Tong Keong, banjir yang berlaku pagi tadi telah melumpuhkan trafik antara daerah Barat Daya dan pusat bandar Pulau Pinang.
“Kita mengesyaki projek pembangunan di kawasan berhampiran telah mengakibatkan banjir kilat berlaku di lebuh raya ini.
”Oleh itu, MBPP perlu meneliti punca berlakunya banjir kilat di lebuh raya ini bagi memastikan sama ada projek pembangunan di kawasan berhampiran yang menyebabkan sistem perparitan tidak dapat berfungsi dengan baik,” katanya.
Tambahnya, banjir kilat di lebuh raya itu bukan sahaja menyebabkan kesesakan trafik, tetapi akan mengakibatkan risiko berlakunya kemalangan.
”MBPP harus memandang serius isu ini demi keselamatan rakyat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mengutamakan keselamatan rakyat,” katanya. –UTUSAN ONLINE










