fbpx

30 Jun 2022, 9:20 am

  TERKINI

Berlanggar dengan bas ekspres, pemandu kereta selamat, penumpang cedera

ANGGOTA bomba dan penyelamat Balai Bomba Lipis membuat pemeriksaan kereta Honda City yang rosak teruk di bahagian depan dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 4, Jalan Lipis - Merapoh, hadapan stesen minyak Petron di Tempoyang di Lipis, Pahang. - FOTO/IHSAN BALAI BOMBA KUALA LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Berpantang maut sebelum ajal. Demikian situasi dihadapi dua mangsa yang terselamat setelah kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres di kilometer 4 , Jalan Lipis – Merapoh, hadapan stesen Petron Tempoyang pada awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.50 pagi itu, pemandu kereta jenis Honda City, Pang Chan Hoong tidak mengalami kecederaan manakala rakan yang menumpang kenderaan itu, Chan Whaiy Lii cedera dan dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan.

Pemandu bas ekspres terbabit dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, bas ekspres terbabit membawa penumpang dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan. 

Jelasnya, apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta yang dipandu Chan Hoong telah keluar daripada arah stesen minyak Petron Batu Dua untuk menghala ke Kuala Lumpur.

“Kereta yang dipandu mangsa dipercayai singgah di stesen itu untuk mengisi minyak ketika dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan pulang ke Kuala Lumpur.

“Akibat kemalangan tersebut, Chan Hoong hanya selamat manakala penumpang di sebelahnya, Whaiy Lii mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, bas ekspres terbabit mengalami kerosakan bumper, lampu hadapan dan pintu utama manakala kereta Honda City mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Beliau berkata, tempat kejadian berkenaan merupakan jalan lurus berturap, sistem jalan satu lorong dua hala serta berlampu dan keadaan cuaca baik.

“Kes kemalangan ini diklasifikasikan di bawah Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan R3(2)B LN 166.

“Saya menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu pada waktu malam kerana penglihatan agak terbatas dengan mengamalkan sikap berhemah di jalan raya,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI