Bekalan air terputus sejak 10 tahun - Utusan Malaysia

Bekalan air terputus sejak 10 tahun

JAAFAR Darus (kiri) bersama Azmi Mat Desa menunjukkan tong air yang digunakan untuk menyimpan air berikutan masalah gangguan bekalan air di Taman Camar Putih, Selama, Bandar Baharu, Kedah. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Lebih 1,500 penduduk di Taman Camar Putih, Taman Cempaka dan pekan Selama di sini terbeban dengan masalah bekalan air yang berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

Penduduk mendakwa masalah tersebut semakin serius sejak tahun lalu apabila gangguan bekalan air berlaku hampir setiap hari.

Penduduk Taman Camar Putih, Jaafar Darus, 50, berkata, bekalan air di rumahnya sering terganggu sejak kebelakangan ini dan paling teruk pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

Katanya, bekalan terputus pada waktu pagi dan berlarutan sehingga beberapa jam pada hari raya kedua dan ia menyusahkan tuan rumah untuk menyediakan juadah kepada ahli keluarga dan tetamu yang berkunjung.

“Apa yang mengecewakan adalah tiada notis yang dikeluarkan oleh pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA ) sebagai makluman kepada penduduk.

“Saya terpaksa menggunakan air dari tong simpanan sedia ada dan membeli air mineral untuk digunakan sekiranya bekalan air terputus. Bekalan tersebut mampu bertahan selama dua hari,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Che Gayah Alang, 44, yang berniaga kuih berkata, masalah air di kawasan itu berlaku sejak lebih 10 tahun lalu dan serius sejak tahun lalu.

“Kadang-kadang saya terpaksa menolak tempahan kuih daripada orang ramai jika tiada bekalan air yang cukup.

“Kami biasanya menyimpan air yang banyak bagi kegunaan ketika masalah bekalan air berlaku yang kerap berlaku pada tengah malam, awal pagi dan petang,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Rukun Tetangga (KRT) Taman Camar Putih, Azmi Mat Desa berkata, penduduk yang mahu membuat kenduri juga biasanya menggunakan pinggan mangkuk pakai buang untuk memudahkan urusan.

“Bagi penduduk yang tidak sempat menyimpan air, mereka terpaksa memandu ke sebuah stesen minyak sejauh 3 kilometer untuk ke tandas serta mencuci pakaian di dobi,” jelasnya.

Katanya, setiap kali berlaku masalah bekalan air terputus, penduduk akan membuat aduan kepada SADA dan alasan diberikan ialah masalah kerosakan dan kebocoran paip utama.

“Namun, apa yang menghairankan penduduk di sini ialah bil air setiap bulan yang diterima adalah lebih daripada RM20 sedangkan dalam masa sebulan kira-kira hampir 15 kali bekalan air terputus.

“Harapan kami adalah agar masalah bekalan air terputus ini dapat diatasi dengan seberapa segera kerana sudah lama kami dibelenggu dengan masalah ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya