Bedah siasat dua pelajar USAS selesai - Utusan Malaysia

Bedah siasat dua pelajar USAS selesai

JENAZAH dua pelajar USAS disembahyang di Masjid Permaisuri Bainun, USAS Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Proses bedah siasat ke atas mayat dua daripada lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini sudah selesai.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, proses berkenaan telah dijalankan oleh pakar forensik dari Hospital Taiping bermula pukul 2 petang tadi.

Katanya, identiti kedua-dua mangsa juga telah dikenal pasti melalui kad pengenalan yang ditemui pada mayat.

“Proses bedah siasat selesai dijalankan ke atas mayat Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Kemaman, Terengganu dan rakannya, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar.

“Jenazah dua sekawan itu akan dibawa ke Masjid Permaisuri Bainun, USAS untuk solat jenazah selepas solat Isyak sebelum dibawa balik ke kampung masing-masing, malam ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, ketika kejadian, Ahmad Naim Najmi duduk di bahagian penumpang hadapan kereta Honda City manakala Ahmad Akmal pula di bahagian penumpang belakang sebelah kiri kenderaan.

Dalam kejadian sekitar pukul 12.52 tengah malam di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, kesemua mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan dua treler masing-masing membawa muatan mozek dan besi pagar.

Selain, Ahmad Naim Najmi dan Ahmad Akmal, turut terkorban dalam kejadian itu, tiga rakan serumah mereka iaitu Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Iqbal Hasnun Halimi, 23; dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

Dalam kejadian itu, pemandu treler berusia 28 dan 37 tahun tidak cedera. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN