KUALA LUMPUR : Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tiada masalah agar siasatan membabitkan skandal Forex dibuka semula dan mahu Peguam Negara membuka kes itu.
Bagaimanapun kata beliau, jika siasatan dibuka, ia membabitkan pemimpin politik tertentu.
“Pendirian saya jelas, kalau esok boleh bercakap dengan Perdana Menteri, sila beritahu Peguam Negara buka siasatan terbuka.
“Saya tiada masalah. Saya banyak kali cakap benda ini di Parlimen.
“Ini beza saya dengan Najib. Saya tidak mahu ada mana-mana kes di mana ahli politik menggunakan jentera politik dan kerajaan untuk menutup kes dan mendera orang,” katanya ketika menjawab soalan kemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Terdahulu, Najib dalam Debat Perdana bertanyakan kepada Anwar berhubung siasatan Skandal Forex yang dipandang sepi ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Skandal itu merujuk kepada kerugian tukaran wang asing membabitkan BNM dari 1991 hingga 1994 semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Anwar kemudian berkata, Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang adalah daripada UMNO, maka tiada alasan agar siasatan dibuka.
“Jangan gunakan alasan apa yang menghalang Peguam Negara membuka semula kes,” tegasnya. –UTUSAN ONLINE










