GEORGETOWN: Dua anggota polis trafik yang didakwa mengiringi anak seorang ahli Parlimen di Jalan Bukit Gambir, di sini telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes berkenaan selesai.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, setelah siasatan dalaman dijalankan pihaknya mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi daripada mana-mana pegawai kanan, ibu pejabat atau Kontinjen Pulau Pinang untuk tugasan itu dilaksanakan.
”Kertas siasatan tatatertib telah dibuka dan siasatan terperinci dijalankan bagi memberikan keadilan.
”Sehingga siasatan selesai, kedua-dua anggota trafik tersebut telah dilucut sementara daripada menjalankan penugasan hakiki dan ditempatkan di bahagian pentadbiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menerusi klip video yang tular di laman sosial Facebook sejak semalam, dua anggota polis trafik dirakam mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen.
Paparan video berkenaan mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan individu berkenaan yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan di Pulau Pinang.
Menurut Mohd. Shuhaily, pihak polis juga telah menghubungi pemandu kenderaan berkenaan bagi mendapatkan keterangan lanjut berkaitan kes itu dan pemandu tersebut memberi maklum balas akan memberikan kerjasama.
”Kita akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia melibatkan kesalahan menggunakan media sosial dan kita juga akan lihat elemen sama ada ia dilakukan bagi menjatuhkan imej polis,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah mengeluarkan serta menjelaskan prosedur berhubung penugasan untuk mengiringi mana-mana pihak pada 18 Mac lalu untuk perhatian para anggota namun kejadian seperti itu masih lagi berlaku.
”Polis sentiasa memandang serius kesalahan melaksanakan tugas tanpa arahan rasmi sama ada daripada pegawai kanan atau penyelia.
”Pucuk pimpinan PDRM Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku bertentangan dengan prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai identiti pemandu kenderaan berkenaan, Mohd. Shuhaily bagaimanapun enggan mengulas lanjut. – UTUSAN