ANALISIS: Henti eksport ayam, elak masalah lebih besar - Utusan Malaysia

ANALISIS: Henti eksport ayam, elak masalah lebih besar

kartel ayam
Langkah kerajaan menghentikan sementara eksport ayam disifatkan langkah tepat ekoran masalah bekalan yang dihadapi negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat mengambil keputusan tepat menghentikan sementara eksport ayam ke negara lain.

Ini supaya bilangan ayam di pasaran kembali stabil, sekali gus memelihara kepentingan rakyat Keluarga Malaysia.

Langkah ini bukanlah langkah populis, sebab jika diteliti cuma beberapa negara sahaja yang bertindak sedemikian. Misalnya India menghentikan sementara eksport gandum, Indonesia berbuat yang serupa terhadap minyak sawit, sementara Serbia dan Kazakhstan meletakkan kuota tertentu bagi eksport gandum masing-masing.

Perkara paling penting yang perlu diteliti ialah soal konflik Rusia-Ukraine, yang ternyata menjejaskan rantaian bekalan produk makanan penting dunia. Maka, semestinya semua negara seluruh dunia kini sedang berkira-kira bagaimana mahu menyelamatkan rakyat masing-masing daripada keputusan bekalan makanan ruji.

Dalam konteks Malaysia, ayam sumber protein utama rakyat yang sering dipadankan dengan sebarang jenis makanan ruji seperti nasi, roti canai berkuah kari ayam, bubur dan mi goreng. Tanpa mengira latar belakang, ia merupakan protein termurah yang mampu dijamah setiap hari, selain yang berasas soya seperti tempe dan tauhu. Justeru, langkah kerajaan menyekat sementara eksport ayam ke luar negara dianggap tepat oleh banyak penganalisis.

Soalnya, bagaimana semua ini terjadi? Jawabnya ialah sikap syarikat gergasi ayam negara ini yang gemar ‘bermain dengan api’, atau orang putih cakap ‘test the water’.

Bayangkan, selama negara ini merdeka sehingga sekarang, industri ayam langsung tidak dikawal selia secara berintegrasi, malah tiada sebarang lembaga khusus. Apabila tiada lembaga mengawalnya, maka mulalah menyusup oligarki (baca: kumpulan kecil yang berkuasa) yang ada modal untuk mengisi kelompongan industri. Sedangkan, industri yang kurang dikenali seperti kenaf pun ada satu lembaga khas yang mengawalnya, namun tidak bagi ayam yang menjadi sumber protein termurah setakat ini.

Kewujudan beberapa gergasi industri yang selama ini menguasai ketiga-tiga proses utama rantaian – iaitu hiliran, pertengahan dan huluan – mencetuskan persoalan, apakah nasib industri ayam itu dikawal pihak swasta dan bukannya kerajaan? Maka bermula dari situ, timbulnya teka-teka bahawa mungkin wujud aktiviti kartel dan konspirasi sesama mereka.

Perkara ini bukanlah pelik, dulu di Singapura pun pernah berlaku kes kartel ayam berkonspirasi dalam bilik-bilik pertemuan sulit di Defu Lane sambil membuat pakatan secara lisan supaya tidak meninggalkan jejak kertas (paper trail). Buktinya, boleh rujuk laporan The Straits Time berjudul ‘Secretive chicken cartel brought down by whistleblower’. Barangkali Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) boleh menyelidik kes di Singapura itu untuk diaplikasi dalam siasatan di Malaysia.

Berbalik kepada tindakan kartel, keadaan jadi lebih buruk apabila baru-baru ini akhbar ini mendedahkan ada konspirasi gergasi-gergasi industri ayam yang menyekat pasaran ayam atas alasan ‘tumbesaran lambat’. Maka semakin huru-hara negara ini dibuatnya. Itu mendorong rakyat menilai, gergasi-gergasi ini mula menguji kesabaran rakyat.

Akhirnya, api itu membakar diri. Siapa sangka, kerajaan bertindak balas dan mengumumkan beberapa langkah, termasuk sekatan eksport. Bukankah dalam teori relativiti, “for every action, there is an equal opposite reaction”?

Kepada saudara sejiran di rumpun ini, kita bersaudara serumpun. Bukan niat Malaysia mahu menyekat bekalan ke Singapura namun terpaksa bertindak sedemikian kerana tak mahu rakyat sengsara. Pasti semua sedar, ‘kesengsaraan perut’ merupakan resipi kehancuran, yang boleh dieksploitasi untuk hasut rakyat turun ke jalanan. Lihat sahaja sewaktu Revolusi Perancis 1789 mahupun Arab Spring 2010! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN