Akta dana politik elak parti, MP terhutang budi

Akta dana politik elak parti, MP terhutang budi

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera melaksanakan Akta Pendanaan Politik bagi mengelakkan mana-mana parti dan ahli Parlimen berasa terhutang budi terhadap sumber dana masing-masing.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM), Fahmi Fadzil berkata, kaedah mana-mana parti meraih dana itu sangat penting yang bukan sahaja untuk mengelakkan salah laku rasuah, tetapi pengaruh pihak luar negara asing.

Justeru, katanya, akta tersebut mampu mengekang aktiviti rasuah berleluasa, salah guna kuasa dan kesan pengaruh kuasa luar atau konglomerat yang dapat menjamin keselamatan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Katalah ada sebuah negara kuasa besar beri dana politik kepada parti atau calon dan calon itu dipilih menjadi ahli Parlimen seterusnya memegang jawatan penting.

“Apa lagi, sekiranya seseorang ahli Parlimen atau parti diberi dana besar oleh syarikat, konglomerat, badan antarabangsa atau negara asing, maka kesan pengaruh entiti itu terhadap ahli Parlimen mampu menghakis keyakinan umum terhadap kebebasan membuat keputusannya.

“Untuk parti juga satu perkara penting, dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikeluarkan dan diguna untuk PRU. Apakah itu patut atau tidak? Jadi, Akta Pendanaan Politik mampu mengekang salah guna kuasa terutamanya melibatkan duit sumber yang merisaukan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, cadangan menggubal Akta Pendanaan Politik masih ‘terperap’ selepas tiga ka­li bertukar kerajaan, walaupun hasrat itu pernah dibangkitkan pada 2015.

FAHMI FADZIL

Justeru, Fahmi berkata, KRPPM yang terdiri daripada ahli Parlimen merentas parti, seorang Senator dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka meneliti beberapa cadangan yang difikirkan sesuai untuk diketengahkan kepada menteri bertanggungjawab berhubung perkara berkenaan.

Namun, katanya, kumpulan tersebut bukan bersifat jawatan kuasa Parlimen, tetapi mempunyai peluang menjadi medan perbincangan yang akhirnya boleh menghasilkan cadangan draf Rang Undang-Undang (RUU) untuk dicadangkan nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×