AGC dapati prosiding jenayah terhadap Serba Dinamik tidak sesuai - Utusan Malaysia

AGC dapati prosiding jenayah terhadap Serba Dinamik tidak sesuai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati prosiding jenayah terhadap Serba Dinamik Holding Berhad (SDHB) tidak sesuai atau wajar diteruskan kerana kesan ekonomi akan berlaku dan impak pertuduhan adalah tidak seimbang dengan tahap kesalahan teruk yang dikatakan dilakukan oleh syarikat berkenaan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, SDHB selain itu sedang berhadapan dengan prosiding penggulungan oleh pemiutang yang akan menjejaskan mata pencarian pekerja-pekerja SDHB dan kepentingan pemegang saham serta pemiutang lain. 

Katanya, AGC mendapati bahawa keputusan mengkompaun kesalahan SDHB adalah merupakan satu bentuk hukuman memadai untuk kesalahan dikatakan yang berlaku setelah mengambil kira hal keadaan kes itu. 

“Tindakan ini akan membolehkan SDHB memberi fokus bagi memperbetulkan kesilapan dan melaksanakan tindakan segera untuk mematuhi peraturan-peraturan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang sebelum ini syarikat itu pernah dan jelas patuhi tanpa kesilapan.

“AGC menyedari tahap pembuktian yang perlu dilepasi oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan pertuduhan berdasarkan keterangan sedia ada dan menegaskan bahawa keputusan mengkompaun kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh SDHB dan eksekutifnya adalah satu keputusan sesuai dan wajar mengikut hal keadaan kes ini. 

“Sehubungan itu pada 7 April lalu, AGC telah memberikan izin untuk mengkompaun kesalahan-kesalahan tersebut kepada SC. Ekoran daripada izin diberikan itu, SC mengikut Seksyen 373 Akta 671 telah mengkompaun kesalahan-kesalahan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu itu dan pegawai serta pengurusan tertingginya hari ini masing-masing dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Mereka terdiri daripada Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, 58; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi, 39; serta Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman, 37.

Perkara itu disahkan ketika sebutan kes berkenaan yang dibuat secara berasingan di hadapan Hakim-Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu Emelia Kaswati Mohd. Khalid, Kamarudin Kamsun, Ahmad Kamar Jamaluddin dan Datin Sabariah Othman, susulan SDHB mengumumkan syarikat dan empat tertuduh membuat penyelesaian penuh kompaun kepada SC.

Menurut Idrus, SDHB dan eksekutifnya masing-masing telah dikompaun maksima oleh SC dan pada 13 April lalu apabila mereka telah dikeluarkan notis kompaun dengan jumlah keseluruhan perlu dibayar adalah RM16 juta dan telah pun dibayar pada 9 Mei.

Terdahulu, Idrus memaklumkan pihaknya telah memberikan izin mendakwa kepada AGC setelah diyakinkan bahawa pendakwaan itu adalah satu tindakan yang wajar dan kemudian SDHB dan eksekutif-eksekutif tersebut telah dituduh di mahkamah pada 28 Disember 2021.

Bagaimanapun jelas beliau, AGC menerima satu surat representasi bertarikh 17 Mac lalu daripada SDHB yang memohon antara lain agar mempertimbangkan semula pertuduhan terhadap syarikat itu dan empat orang eksekutifnya.

“Kemudiannya atas permintaan daripada AGC, SC telah mengemukakan kertas siasatan kepada AGC. Setelah diteliti kertas siasatan tersebut dan surat representasi SDHB tersebut, AGC bersetuju dengan cadangan untuk mengkompaun kesalahan yang dikatakan telah dilakukan oleh SDHB dan empat orang eksekutifnya.

“Hal ini memandangkan antara lain keterangan sedia ada terhadap SDHB adalah bersifat mengikut keadaan dan kebergantungan kepada Seksyen 367(1) Akta 671. Tambahan pula, SDHB dan empat orang eksekutifnya tersebut bersedia untuk menerima jumlah kompaun maksima yang boleh dikenakan oleh SC,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya