KANGAR : “Adik tolong emak,”. Itu jeritan terakhir Hatun Osman, 65, sebelum meninggal dunia akibat terkejut dan sesak nafas selepas pokok kelapa menghempap bumbung rumahnya di Jalan Bukit Kecil , Kampung Behor Temak, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, ibu kepada empat orang anak yang menghidap penyakit kanser pangkal rahim tahap empat itu tidur di katilnya di ruang tamu manakala suaminya, Rosli Mat Akhir, 66, pula tidur di sofa bersebelahannya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak ketiga warga emas tersebut, Muhammad Fitri Rosli, 29, yang masih sedih dengan pemergian ibunya berkata, dia berada di dapur dan sedang berbual melalui telefon ketika kejadian.
Katanya, pada mulanya, dia terdengar bunyi seperti individu membaling batu di bumbung, namun dalam sekelip mata pokok kelapa tumbang dan menghempap bumbung di kawasan tempat ibunya yang sedang tidur.
“Saya terus berlari untuk selamatkan emak tetapi tidak sempat berbuat apa-apa, kerana kejadian itu berlaku begitu pantas sekali. Pada masa itu, saya dengar emak menjerit meminta tolong.
“Bagaimanapun, kira-kira tujuh minit kemudian emak sudah tidak berkata apa-apa lagi. Kami reda dengan pemergian emak.
“Kami juga bersyukur kerana ayah selamat dalam kejadian itu dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Dalam pada itu, Rosli berkata, isterinya yang lebih setahun menghidap kanser dan hanya berjalan dengan menggunakan tongkat kelihatan sihat dalam masa seminggu lalu.
“Dalam masa seminggu ini dia nampak macam sihat sikit daripada biasa. Tak sangka pula dia akan pergi. Semasa kejadian, tidak ada angin atau ribut pun. Mungkin sudah tiba masa dia pergi dan kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya. – UTUSAN










