Adakah 18 peratus daging itu halal? - Utusan Malaysia

Adakah 18 peratus daging itu halal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang mendakwa Thomas Food Industries (TFI) hanya mengeksport daging sebanyak 18 peratus ke Malaysia disifatkan sebagai dangkal dan mengelirukan umat Islam di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, saksi utama kes pelanggaran protokol halal di rumah sembelihan di Lobethal, Australia yang dikenali sebagai Abdullah berkata, fakta berkenaan bukan sahaja tidak betul, malah menunjukkan menteri berkenaan seperti tidak serius dalam isu makanan halal dan haram.

Menurut Abdullah, TFI langsung tidak memproses daging lembu, tetapi hanya memproses kambing dengan 45 peratus daripada produk mereka dihantar ke Malaysia.

“Bagaimana seorang menteri boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian supaya rakyat tidak melihat salah laku pusat penyembelihan ini sebagai satu kesalahan besar walaupun ia beroperasi sedemikian sudah bertahun-tahun?

“Sekali pun hanya satu peratus mereka mengeksport kambing ke Malaysia, ia tetap menjadi bangkai dan haram dimakan. Umat Islam di Malaysia selama ini ditipu mentah-mentah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya di sini semalam.

Semalam, Idris memaklumkan TFI membekalkan sebanyak 18 peratus bekalan daging ke Malaysia.

Lebih mendukacitakan, Abdullah mempersoalkan tindakan cuba mendedahkan identitinya kepada umum dengan menyatakan asalnya selain mempertikaikan nama samarannya.

Sedangkan, katanya, identiti seorang saksi perlu dilindungi dan sebagai menteri sepatutnya tahu berkenaan undang-undang berkaitan perlindungan pemberi maklumat atau whistleblower.

Abdullah berkata, dia tidak ada masalah untuk bertemu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada bila-bila masa, dan tidak sekali-kali untuk melarikan diri selepas pendedahan dibuat.

Namun, katanya, dia hanya bersedia untuk memberikan maklumat kepada pihak berautoriti yang tampil membuktikan pegawai berkenaan adalah benar-benar daripada pihak Jakim berdasarkan kad identiti.

“Saya tidak membuat sebarang fitnah, saya memberitahu apa yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri, tetapi malangnya tiada siapa mahu mendengar atau menangani isu ini dengan ikhlas.

“Hanya selepas 45 hari baru Jakim datang ke rumah penyembelihan itu walaupun mereka mengatakan telah melakukan audit, saya ada di sana dan tidak pernah berjumpa sesiapa dari Jakim selepas kenyataan media pertama Jakim,” katanya.

Abdullah menjelaskan, pada 13 Mei lalu, seorang pegawai Jakim hadir ke TFI dan mendapati dia tidak ada, lalu menghubunginya melalui nombor telefon rakannya tetapi pegawai Jakim itu enggan memberikan kad perakuan bagi membuktikan pegawai itu benar-benar daripada Jakim.

Katanya, pengesahan identiti pegawai itu adalah penting kerana dia menerima 11 panggilan yang tidak diketahui daripada pihak yang mendakwa mereka daripada Jakim dan kesemuanya tidak mahu mendedahkan identiti ketika diminta berbuat demikian.

“Tiada siapa yang memaksa saya atau membayar saya untuk mendedahkan kepincangan ini. Saya tidak mahu apa-apa ganjaran daripada sesiapa, saya lakukan ini semata-mata kerana Allah walaupun saya telah menerima ugutan.

“Matlamat utama saya hanya mahu menyelamatkan umat Islam Malaysia dan di mana-mana sahaja daripada memakan makanan yang tidak halal dan tidak bersih, saya ingin menyelamatkan haiwan yang telah dicederakan dengan kejam dan didera setiap hari di rumah penyembelihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN