39,235 ‘saman raya’ di Johor

39,235 ‘saman raya’ di Johor

Jumlah 39,235 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di Johor sepanjang Op Selamat 18 baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengeluarkan sebanyak 39,235 saman bagi pelbagai kesalahan sepanjang Op Selamat 18 sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan yang ketara berbanding 21,016 saman pada Op Selamat 15 pada tahun 2019.

Beliau berkata, jumlah saman yang dikeluarkan dalam tempoh 10 hari operasi itu diadakan menunjukkan kesedaran masyarakat tentang peraturan dan undang-undang khususnya di jalan raya masih rendah.

“Kesalahan yang paling tinggi dikesan adalah memandu melebihi had laju iaitu sebanyak 26,520 saman diikuti kesalahan potong barisan iaitu sebanyak 1,884  saman,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kamarul Zaman berkata, Op Selamat yang rasminya menutup tirai pada 9 Mei lalu mencatatkan penurunan kemalangan iaitu 2,302 kes direkodkan dengan 20 kes kemalangan maut berbanding 2,488 kes pada 2019 dengan 24 kemalangan maut.

HOT SPOT

Katanya, penekanan yang diberikan di 45 jalan dan lokasi hot spot dan black spot kemalangan yang dikenalpasti menyumbang kepada kemalangan khususnya maut hanya merekodkan empat kes sepanjang tempoh operasi diadakan.

“Bagi operasi dan tangkapan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), 62 tangkapan telah berjaya dibuat dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan melebihi had merupakan kesalahan tertinggi direkodkan,” katanya. 

Daripada jumlah itu, katanya, ia melibatkan 52 Kes di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 empat di bawah Kanun Keseksaan dan enam di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tambahnya, bagi Kempen Rumah Selamat pula, Polis Johor telah menerima 971 laporan balik kampung melalui aplikasi VSP, Talian dan Borang untuk PDRM membuat lawatan dan rondaan melibatkan elemen unit peronda MPV dan Unit Ronda bermotosikal (URB) .

“Sebanyak 7,911 lawatan dan rondaan telah dijalankan dan tiada kes pecah rumah dilaporkan bagi rumah yang ditinggalkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Kejayaan dalam Op Selamat 18 ini adalah hasil kerjasama oleh semua khususnya JSPT yang merupakan watak utama melalui siri operasi terancang dan usaha pencegahan jenayah serta rondaan yang berkualiti dijalankan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti JPJKK,” ujarnya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.