ALOR SETAR: Sebanyak 838 geran hak milik rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa KEDA diserahkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) kepada pesertanya sejak tujuh tahun lalu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 3,862 unit rumah di 44 penempatan PPRT KEDA di seluruh Kedah.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,778 unit sudah diberi hak milik kepada KEDA dan ia diserahkan kepada peserta secara berperingkat.
“Ini bermakna geran hak milik bagi 1,940 unit lagi akan dilaksanakan dari semasa ke semasa kepada penduduk yang layak, proses pemindahan hak milik ini dilakukan kepada penduduk selepas membuat penilian berdasarkan beberapa kriteria dan syarat yang ditetapkan KEDA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Penempatan Desa KEDA di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi KEDA, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib.
Dalam majlis itu seramai 160 peserta Desa KEDA daripada Desa KEDA Bendang Perang, Desa KEDA Kampung Bukit dan Desa KEDA Derang menerima hak milik masing-masing.
Kata Mahdzir, usaha menyerahkan geran hak milik berkenaan kepada peserta KEDA dimulakan sejak 2015.
Sementara itu, penerima geran, Zakaria Bakar, 53, berkata, dia bersyukur penantian lebih 20 tahun sudah berakhir apabila menerima geran tapak rumah yang didiami.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana beri rumah dan tanah secara percuma kepada golongan seperti kami, dengan adanya geran ini dapat lah kami melakukan perancangan masa depan dengan lebih baik.
“Saya ada anak-anak dan cucu, lepas ini saya tak perlu bimbang lagi untuk wariskan kepada mereka kerana sudah jadi hak sendiri,” katanya. –UTUSAN ONLINE










