PETALING JAYA : Terbabas sendiri dilihat punca utama kejadian kemalangan maut yang dicatatkan dalam Op Selamat 18 bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Sepanjang tempoh itu, trend kemalangan maut mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 160 kes direkodkan Polis Diraja Malaysia dengan melibatkan 166 kematian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 15,947 kes kemalangan dilaporkan berlaku sepanjang Op Selamat 18 dengan melibatkan 20,731 kenderaan.
Kata beliau, kes kemalangan kali ini meningkat satu peratus iaitu 111 kes berbanding 15,836 kes bagi Op Selamat 15/2019.
“Meskipun berlaku peningkatan kes kemalangan, ia disebabkan faktor pertambahan aliran kenderaan yang tinggi sehingga mencapai lima juta buah kenderaan berikutan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota.
“PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan bantuan pelbagai agensi masih mampu mengawal situasi di jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata Acryl Sani sepanjang Op Selamat 18, kesesakan yang berlaku di jalan dan lebuh raya utama negara telah dapat dikawal dengan baik melalui Op Lancar yang telah diatur gerak melibatkan semua elemen PDRM.
Kata beliau, pemantauan di udara menggunakan aset helikopter dan dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), dilihat berkesan dalam menangani keadaan luar jangka daripada menjadi lebih buruk.
“Penguatkuasaan secara total enforcement telah dilaksanakan ke atas enam kesalahan utama turut memastikan pengguna untuk lebih berdisiplin dan berhemah semasa pemanduan di jalan raya.
“Malah, untuk rekod, sebanyak 313 kes pecah rumah telah dilaporkan dalam tempoh pelaksanaan Op Selamat 18 sekali gus menunjukkan penurunan yang drastik iaitu -42.6 peratus dengan 232 kes berbanding 545 kes pecah rumah pada op selamat 15/2019,” jelasnya.
Kata Acryl Sani, kerjasama masyarakat di dalam mengisi borang balik kampung bagi rumah atau premis yang ditinggalkan sepanjang tempoh itu telah membantu PDRM dalam memastikan kadar jenayah pecah rumah dapat diturunkan.
“Selain itu, keprihatinan pengguna jalan raya untuk bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang agar tindakan dapat diambil juga amat dipuji dan dihargai.
“Melalui Op Selamat 18 ini juga, semangat Keluarga Malaysia dapat dilihat apabila semua pihak terutamanya pengguna jalan raya yang bertoleransi dan berhemah bagi memastikan sambutan hari raya Aidilfitri dapat diraikan dengan penuh kemeriahan, kegembiraan, selamat dan harmoni,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE










